Saturday, February 16, 2008

Aksum simpan kisah Nabi Sulaiman, Ratu Balqis

AKSUM di utara Addis Ababa ialah pusat tamadun Habsyah yang banyak menyimpan pelbagai catatan dan kesan peninggalan tamadun silam.

Bagi masyarakat Kristian Orthodok, mereka menganggap Aksum sebagai bandar suci kedua selepas Baitulmaqdis.

Mereka mempercayai di situ tersimpan Art Of Covenant atau Tabut iatu kotak warisan Bani Israel yang mengandungi pelbagai penulisan mengenai undang-udang Yahudi warisan nabi terdulu.

Pada mereka, Tabut itu adalah warisan berbentuk spiritual yang amat bernilai. Selain itu, mereka yakin beberapa barangan milik nabi lain seperti tongkat Nabi Musa dan Harun serta sekeping roti yang masih segar masih tersimpan dalam Tabut.

Namun, di sebalik pelbagai kisah ini, Aksum juga dikaitkan dengan keagungan empayar Saba yang dipimpin oleh Ratu Balqis.

Selain tersebar ke Habsyah, kerajaan ini melebar sayap ke Semenanjung Tanah Arab terutama di Yaman.

Di sini, kesan peninggalan Kerajaan Saba masih kelihatan, terutama pada runtuhan bangunan lama. Ahli sejarah menjelaskan, bangunan terbabit didirikan lebih 1,000 tahun sebelum masihi.

Di sebalik peninggalan kerajaan ini sebenarnya tersirat cerita benar mengenai sejarah kerasulan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis seperti dirakamkan dalam al-Quran iaitu dalam surah Saba.

Kajian mendapati Ratu Balqis memerintah Saba pada 1,000 sebelum masihi dan kemuncak kekuasaannya ialah pada zaman Nabi Daud dan Sulaiman.

Seperti kaum Thamud dan 'Ad, kaum Saba dianugerahkan Allah dengan pelbagai kepakaran serta pengetahuan mendalam dalam bidang pertanian dan perniagaan.

Hal ini membolehkan Kerajaan Saba pimpinan Ratu Balqis muncul sebagai empayar tersohor dan paling berpengaruh di rantau itu.

Diriwayatkan, kerajaan dan rakyat Saba dikurniakan tanah yang subur hingga menyebabkan wilayah itu kelihatan ibarat taman sejauh mata memandang.

Dengan anugerah Ilahi dan kekayaan itu, Ratu Balqis mampu membina istana tersergam indah dan beberapa struktur istana seperti tiang dan dinding masih boleh dilihat hingga kini.

Kisah keinginan Ratu Balqis untuk beriman dengan akidah tauhid bermula selepas beliau menerima sepucuk surat daripada Nabi Sulaiman.

Antara kandungan surat itu ialah baginda menjelaskan kepada Ratu Balqis agar tidak sesekali bermegah dengan kekayaan yang dimiliki, sebaliknya perlu sedar dan mengakui bahawa segala pemberian itu adalah daripada Allah.

Diriwayatkan, Ratu Balqis membaca surat itu berkali-kali untuk memahami tujuan dan kandungan sebenar surat itu diutuskan.

Bertitik tolak dari sini, lama kelamaan, Ratu Balqis dan rakyatnya terus beriman kepada Allah selepas menyedari bahawa kekayaan dan kemewahan dimiliki bukan milik makhluk.

Ratu Balqis berpendapat, ia adalah amanah dianugerahkan untuk dimanfaatkan sebaik mungkin oleh hamba-Nya dan bukan untuk bermegah-megah.

Diriwayatkan, Ratu Balqis beriman sekitar 965 hingga 926 sebelum masihi.

Kehebatan Nabi Sulaiman turut mengagumkan Ratu Balqis dan rakyat Saba kerana baginda mampu mengalihkan istana sekelip mata.

Tetapi, bagi Nabi Sulaiman, mukjizat yang dimiliki baginda terutama kekuatan bala tentera di kalangan jin adalah pemberian Allah sebagai bukti dan tanda kebesaran Ilahi.

Sejarah menunjukkan, keimanan kaum Saba kepada Allah tidak bertahan lama. Raja kerajaan itu bertindak kembali mensyirikkan Allah dengan kembali menyembah dewa Almaqah (Dewi Bulan) dan Dhat Bad’an (Dewa Matahari).

Pada mereka, Almaqah ialah ketua segala dewa. Raja pula menganggap diri mereka sebagai wakil Almaqah yang wajib disembah oleh seluruh rakyat.

Berikutan itu, mereka membina kuil dan peninggalan kuil itu masih ada di beberapa wilayah di Yaman hingga hari ini. Ahli arkeologi menganggarkan lebih 3,000 kuil menempatkan patung Dewa Almaqah di Yaman.

Tidak hairanlah, kaum Saba akhirnya menerima nasib sama seperti kaum Thamud dan ‘Ad yang dibinasakan Allah lantaran kekufuran mereka kepada Allah.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template