Saturday, February 16, 2008

Makasar tumpuan pedagang Asia, Eropah

MAKASAR adalah bandar pelabuhan yang didiami majoriti Muslim seawal kurun ke-17. Pada waktu itu, Islam menjadi anutan sultan dan pembesar yang memerintah beberapa kerajaan tempatan.

Antara raja yang mentadbir Makasar ialah Sultan Hasanuddin yang tinggal di kubu terakhir kerajaan Gowa Sulawesi Selatan, Indonesia. Kubu itu terletak di muara Sungai Jeneberang.

Kubu yang dikenali benteng Somba Opu di Kabupaten Gowa ini diasaskan Raja Gowa ke-9, Daeng Matanre Karaeng Mangnguntungi.

Beliau memindahkan pusat pemerintahan kerajaan Gowa dari Sungguminasa ke Makasar sekitar penghujung kurun ke-15.

Benteng sepanjang dua kilometer dan mempunyai ketinggian 7.8 meter itu dibina semula oleh pihak berkuasa bagi melestarikan peninggalan kerajaan Gowa yang bersejarah.

Sewaktu pemerintahan Sultan Hasanudin pada pertengahan kurun ke-17, Somba Opu berkembang sebagai pusat perdagangan dan menjadi antara pelabuhan rempah di Nusantara. Ia juga dikunjungi pedagang asing dari Asia dan Eropah.

Keadaan itu ternyata tidak disenangi Belanda yang mahu memonopoli perdagangan rempah di rantau ini, hingga meletusnya beberapa pertempuran.

Pada 1668, pertempuran sengit perang Makasar tercatat dalam sejarah Sulawesi selatan sebagai penentu kepada kelangsungan hidup kerajaan Gowa yang ketika itu bertahan kira-kira 368 tahun di wilayah ini.

Benteng Somba Opu tidak mampu bertahan berikutan serangan bertubi-tubi Belanda. Namun, Sultan Hasanuddin tidak menyerahkan Somba Opu dengan mudah kepada penjajah itu.

Dicatatkan dua perahu dan sebuah kapal Belanda berjaya ditenggelamkan menggunakan meriam orang Gowa. Seramai 180 askar dan seorang kapten Belanda terbunuh.

Pada 24 Jun 1669, benteng Somba Opu tidak lagi mampu bertahan, biarpun Sultan Hasanuddin bersama pejuangnya berusaha bermati-matian.

Tentera Belanda yang dipimpin Cornelis Jansz Speelman akhirnya menghancurkan pertahanan kota ini. Somba Opu akhirnya jatuh ke tangan Belanda dan benteng itu dihancurkan sama sekali.

Speelman mengakui kehandalan Sultan Hasanuddin pahlawan Gowa. Makam Sultan Hasanuddin diletakkan bersama raja Gowa lain di Bukit Tamalate, Sungguminasa, Gowa.

Raja kerajaan Gowa ke-16 ini berusia 41 tahun ketika mangkat pada 1670, setahun selepas kejatuhan benteng Somba Opu yang menjadi penanda bermulanya era kelemahan kerajaan Gowa.

Raja Gowa berikutnya kehilangan kuasa politik, namun penentangan rakyat terhadap Belanda masih diteruskan dan mendapat sokongan penuh istana Gowa.

Justeru penjajah itu langsung tidak menaruh kepercayaan kepada kaum bangsawan Gowa kerana mereka dianggap tenaga penggerak perjuangan menentang Belanda.

Perjuangan Sultan Hasanudin diiktiraf rakyat Indonesia hingga dianugerahkan status pahlawan nasional. Hari ini, sumbangan Sultan Hasanuddin menjadi inspirasi mahasiswa jurusan perubatan di Makasar, iaitu Universiti Hasanuddin. Ia dinamakan sempena mengabadikan nama Raja Gowa.

Pengaruh Islam yang kuat dapat dikesan di kalangan masyarakat Islam Sulawesi selatan. Ada lima universiti Islam, selain lebih 10 pusat pengajian tinggi yang menawarkan jurusan agama dan bidang lain seperti sains, teknologi serta profesional.

Di Sungguminasa, 45 minit perjalanan dari pusat bandar Makasar, bersemadi seorang ulama dari kurun ke-17 iaitu Tuanta Salamaka. Nama Tuanta Salamaka yang bermaksud tuan kita yang selamat dan mendapat berkat iaitu sebenarnya ialah Sheikh Yusuf.

Ulama itu dianggap mengancam kompeni Belanda dan dihukum buang negeri ke Sri Lanka pada 1683. Dakwahnya tersebar dari Sri Lanka hingga ke Afrika Selatan. Isterinya ialah Sitti Daeng Nisanga.

Sheikh Yusuf dikatakan berketurunan bangsawan yang lahir pada 1626 iaitu dua dekad selepas Sultan Alaudin menjadi Raja Gowa pertama memeluk Islam.

Beliau ialah pendakwah yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Afrika Selatan.

Sebagai mengiktiraf jasanya, sebuah masjid dengan reka bentuk tempatan dibina tidak jauh dari pusaranya. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Agung Sheikh Yusuf.

Sejak kecil, Sheikh Yusuf menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu Islam dan menguasai bahasa Arab. Minatnya kepada dakwah dan tasauf membawanya merantau dari Sulawesi ke Aceh, Yaman, Makkah dan Syria. Perjalanannya berakhir di Banten, Jawa Barat.

Beliau bukan saja dilantik sebagai mufti Kesultanan Islam Banten oleh Sultan Ageng Tirtayasa, malah diangkat panglima perang menentang kompeni Belanda.

Pada pertengahan kurun ke-17, kesultanan Banten muncul sebagai kerajaan Islam yang besar, sekali gus cuba mempertahankan kedaulatannya dari penjajahan Eropah.

Sheikh Yusuf bersama Sultan Ageng Tirtayasa yang terkenal yang komited dengan Islam terus berjuang mempertahankan serangan Belanda.

Beliau ditangkap dan dibuang negeri ke Sri Lanka pada 1684.

Sembilan tahun kemudian, beliau dipindahkan ke Afrika Selatan bersama 49 pengikutnya. Pada 23 Mei 1699, Sheikh Yusuf menghembus nafas terakhir di Cape Town.

Pada 1703, Raja Gowa Sultan Abdul Jalil meminta Belanda memindahkan jasadnya ke lokasi hari ini di Sungguminasa, Sulawesi selatan.

Sejarah Indonesia menyingkap ulama yang berjihad menyumbang kepada kemerdekaan negara ini. Pada mereka, Islam menjadi inspirasi perjuangan dan inilah yang dilakukan pejuang terdahulu antaranya, Pangeran Diponegoro.

Diponegoro ialah putera salah seorang putera Sultan Hamengku Buwono ke-3 dari kesultanan Yogyakarta. Beliau dilahir pada 1785 dan membesar dalam lingkungan keraton yokyakarta.

Nendanya Ratu Ageng membawanya ke pedalaman di Tegalrejo untuk hidup bersama rakyat biasa. Beliau meninggal dunia pada 8 Januari 1855 dan isterinya ialah Ratu Ratna Ningsih.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template