SEIYUN, pusat pentadbiran dan ekonomi wilayah Hadramaut ialah daerah paling subur di Yaman. Sekitar awal kurun ke-16, bandar Seiyun pernah menjadi pusat pentadbiran Kesultanan Kahtiri.
Bagaimanapun, kawasan itu sebenarnya sudah diduduki oleh manusia seawal 2,000 tahun sebelum masihi.
Bukti penemuan awal tamadun manusia itu boleh dilihat di Muzium Arkeologi Seiyun yang dibina pada 1873.
Di situ, pelbagai artifak memperlihatkan kemajuan adat dan budaya masyarakat Hadrami sejak zaman berzaman dipamerkan untuk tatapan pelancong.
Selain Seiyun, bandar Tarim yang juga dalam wilayah Hadramaut menyingkap pelbagai peristiwa silam. Tarim juga digelar Al-Ghanna' berikutan muka bumi yang subur dan banyak sumber air.
Diriwayatkan, Tarim diasaskan pada kurun keempat sebelum masihi dan pernah menjadi ibu kota Hadramaut.
Nama Tarim pula dikatakan diambil sempena nama anak Hadramaut, pemerintah terawal wilayah Hadramaut,
Hadramaut pula dikatakan seorang raja daripada Dinasti Himyar.
Bagi sesetengah ahli sejarah Yaman, mereka berpendapat Hadaramaut berasal daripada keturunan keenam Nabi Nuh. Tidak kurang juga, ada yang mengaitkan bandar Tarim dengan nama anak Ratu Balqis.
Kedatangan Islam ke Tarim dikatakan bermula pada kurun ke-10 hijrah, selepas seorang utusan dari bandar itu ke Madinah untuk menemui Rasulullah.
Diriwayatkan, rombongan utusan itu pulang bersama seorang sahabat nabi, Ziyad bin Labid Al-Bayadi Al-Ansari.
Sejak itu, Ziyad berulang alik antara Tarim dan Syibam untuk berdakwah. Ketika pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq, penduduk Tarim bersama-sama tentera Islam memerangi golongan murtad.
Golongan itu muncul sebaik Rasulullah wafat. Di wilayah Kindah, Al-Asy'ath bin Qais Al-Kindi memimpin orang murtad untuk menyuarakan penentangan terhadap kewajipan zakat dan berpakat menentang khalifah.
Catatan sejarah menunjukkan, Al-Asy'ath akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa ke Madinah. Bagaimanapun, beliau kembali bertaubat dan diberi pengampunan khalifah Abu Bakar.
Selain di Kindah, gerakan murtad meletus di Yamamah pimpinan Musaylimah Al-Kazzab, Tulaihah (Wilayah Bani Asad) dan Al-Aswad Al-Ansi (Yaman).
Mereka walaupun diberikan peringatan dan gesaan supaya bertaubat, golongan murtad tetap berdegil dan menentang Islam.
Berikutan itu, Abu Bakar menghantar tentera bagi memerangi golongan ini. Diriwayatkan pertempuran menentang golongan ini berlaku di Husn Najir, tidak jauh dari bandar Tarim.
Meskipun tentera Islam memperoleh kemenangan, sebahagian mereka parah dan askar terbabit dihantar ke bandar Tarim untuk dirawat. Selain mencatatkan pelbagai peristiwa silam, Tarim kini terkenal sebagai pusat perkembangan ilmu di Yaman.
Simbol kecemerlangan ini boleh dilihat di Maktabah Al-Ahqaf yang menyimpan ribuan buku ilmiah yang menjadi rujukan ilmuwan.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment