HIJRAH Nabi Muhammad saw ke Madinah membawa banyak perubahan kepada pembangunan tamadun manusia. Hal ini disebabkan Islam berjaya mengubah kehidupan manusia ke arah kehidupan lebih beretika.
Berbanding zaman jahiliah, masyarakat Arab berperang sesama sendiri agar kepentingan peribadi mereka terus terpelihara.
Sebaik berada di Madinah, beberapa peristiwa berlaku. Pertama, pada 15 Syaaban, Baginda menerima wahyu daripada Allah agar kiblat sembahyang diubahkan ke Masjidil Haram.
Peristiwa itu berlaku ketika Baginda sedang bersembahyang zuhur. Sewaktu rukuk, turun wahyu agar Rasulullah mengubah kiblat.
Sebaik mendapat wahyu itu, Baginda berpusing ke arah Baitullah di Makkah lalu diikuti jemaah lain.
Sebenarnya, Baginda amat ternanti-nanti wahyu Allah berhubung perkara itu. Hal ini disebabkan sikap golongan Yahudi yang sering menyindir Rasulullah, kononnya berkiblatkan Masjidil Aqsa adalah berkiblatkan tempat suci mereka. Sempena peristiwa itu Masjid Kiblatian dibina.
Selain penukaran kiblat, peristiwa lain yang berlaku sebaik hijrah Baginda adalah Perang Badar. Ia adalah peperangan pertama dalam Islam dan berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah.
Badar kawasan yang dikelilingi tanah gersang dan bukit pasir dan kedudukan pula antara Makkah dan Madinah.
Peperangan Badar memperlihatkan pertempuran sengit antara tentera Islam dengan 1,000 orang Musyrikin Makkah.
Ahli sejarah meriwayatkan bahawa peperangan itu berlaku apabila Baginda menggerakkan sepasukan kecil tentera ke laluan pedagang di kawasan pesisir Laut Merah.
Ketika itu, Rasulullah berhasrat memintas pedagang Quraisy yang diketuai Abu Sufyan.
Bagaimanapun, berita itu bocor, lalu Abu Sufyan segera menghantar utusan meminta bantuan dari Makkah.
Sebaik menerima berita itu, Abu Jahal segera mengumpulkan 1,000 angkatan bersenjata ke utara.
Dalam peperangan itu, 14 tentera Islam syahid, manakala 70 Musyrikin terbunuh. Antaranya petualang Musyrikin, Abu Jahal yang juga bapa saudara Rasulullah. Ketika Baginda di Makkah, dia sanggup menyakiti, menghina dan menindas minoriti Muslim.
Malah, beliau terbabit merancang komplot pembunuhan Baginda, anak saudaranya sendiri.
Kemenangan itu sekali gus mengubah keangkuhan Musyrikin Makkah.
Dalam pada itu, 70 tawanan Makkah dibawa ke Madinah. Mereka tidak dianiayai walaupun memusuhi Islam. Mereka, malah boleh menebus diri dengan memberikan pelbagai tawaran mengikut kemampuan masing-masing.
Mereka yang pandai membaca dan menulis boleh memperoleh kebebasan apabila mengajar anak orang Islam Madinah.
Kebaikan Islam kian terserlah apabila tawanan miskin, tidak mampu menebus diri dan buta huruf pun boleh bebas seperti tawanan lain.
Peristiwa Badar pada Ramadan tahun kedua hijrah sememangnya memberikan pelbagai pengajaran untuk kemenangan Islam.
Hakikatnya, bilangan atau jumlah tentera yang ramai bukan ukuran kemenangan Islam. Sebaliknya, Islam akan mencapai kecemerlangan disebabkan mutu ketakwaan umatnya.
Berikutan kekalahan itu, Musyrikin Makkah masih tidak serik. Pada 25 Ramadan tahun ketiga hijrah, Abu Sufyan menggerakkan tentera menuju Madinah.
Bilangan mereka dianggarkan 3,000 anggota menunggang unta dan 200 berkuda. Setiba di pergunungan Uhud, meletus pula peperangan antara tentera Islam dengan Musyrikin.
Tidak seperti medan Badar, dalam peperangan ini 70 tentera Islam syahid, termasuk bapa saudara Baginda, Saidina Hamzah.
Diriwayatkan, dada beliau dibelah dan hatinya pula dikunyah Hindun, isteri Abu Sufyan. Beliau berbuat demikian kerana terlalu marahkan Hamzah yang sanggup memeluk Islam.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment