KOTA suci Makkah sentiasa dikunjungi jutaan manusia seluruh dunia. Meskipun, berdepan dengan kesukaran dan kesulitan seperti perjalanan yang jauh dengan belanja besar, namun ia bukan masalah besar untuk ke kota itu.
Hakikatnya bukan mudah ke Makkah. Namun, pada awal kurun ke-20, sekitar 100,000 jemaah saja yang dapat mengerjakan haji berbanding dua juta pada awal alaf baru ini.
Selepas dibangunkan bersama Nabi Ibrahim, Kaabah berada di bawah jagaan Nabi Ismail hinggalah baginda wafat.
Tidak lama kemudian, suku Jurhum mengambil alih tanggungjawab mentadbir Kaabah.
Banyak peristiwa berlaku ketika suku Jurhum menjaga Makkah. Antaranya telaga zam-zam dikambus apabila suku Khuza'ah menyerang dan menduduki kota itu.
Ketika zaman Abdul Mutalib, ketua Bani Hashim yang bertanggungjawab menjaga urusan minuman jemaah haji, beliau menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air. Namun, beliau ditakdirkan menemui semula mata air zam-zam yang sudah lama terkambus itu.
Penemuan semula mata air zam-zam itu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kota Makkah. Kabilah dagang yang bergerak melintasi Semenanjung Arab singgah di kota itu untuk mendapatkan bekalan air serta berniaga.
Akhirnya, Makkah berkembang dalam pentadbiran suku Quraisy yang pada mulanya bertanggungjawab melayani jemaah haji menziarahi Kaabah dalam masa beberapa tahun.
Kaabah yang terletak di tengah Masjidil Haram kekal keagungannya hingga kini walaupun kerajaan yang memerintah bertukar ganti.
Reka bentuknya kekal dari zaman Umawi, Abbasiah hingga dilakukan perluasan kerajaan Arab Saudi.
Mereka melihat Masjidil Haram bakal menampung pertambahan jumlah jemaah yang kian meningkat setiap tahun.
Program perluasan kota itu bermula ketika pemerintahan Raja Abdul Aziz pada pertengahan kurun lalu iaitu pada 1955.
Ia menyaksikan keluasan kota Makkah bertambah dalam masa 20 tahun daripada 19,000 meter persegi kepada 160,000 meter persegi, hampir lapan kali ganda keluasan asalnya.
Penambahan itu dibuat tanpa menjejaskan keaslian binaan asal dari zaman Turki. Kali terakhir penambahan struktur masjid dibuat pada 306 hijrah, iaitu sekitar penghujung kurun ke-9 Masihi ketika zaman Abbasiah.
Ruangan tawaf juga dibesarkan tiga kali ganda dari keluasan asal. Daun pintu kaabah juga diganti baru, dilapisi emas tulen.
Sebagai kesinambungan kepada usaha ayahandanya, Raja Fahd menambah kawasan sai dengan laluan bertutup serta berhawa dingin.
Begitu juga laluan bertingkat dan jambatan bagi mengurangkan kesesakan ketika musim haji demi keselesaan umat Islam.
Selepas 13 tahun projek pembesaran Al-Haram siap, Khadimul Haramain Raja Fahd pula melancarkan satu lagi projek pembesaran masjid suci ini.
Pada 2 Safar 1409, projek ketiga perluasan Masjidil Haram oleh Kerajaan Saudi dirasmikan. Kos pembaik pulih bernilai 6.8 bilion Riyal Saudi.
Ia meliputi pertambahan binaan masjid dan kompleks yang menempatkan kedai di barat Masjidil Haram iaitu di hadapan bab al-Umrah dan bab al-Malik.
Kerja pembinaan yang bermula pada 1989 membabitkan satu lagi projek raksasa iaitu pembesaran bahagian utara kawasan masjid seluas 1.2 juta meter persegi.
Ia dibuat selepas pembinaan menara penginapan Jabal Omar di barat Masjidil Haram.
Projek Jabal Omar itu yang bermula Ogos lalu menelan belanja 12 bilion Riyal dan mengubah landskap Makkah.
Sebuah kilang batu buatan di Makkah dan Madinah mengeluarkan lebih setengah juta komponen hiasan untuk jendela dan menara.
Di Jeddah pula, dua kilang memproses batu marmar serta granit mengeluarkan 270 ribu meter persegi bahan yang digunakan untuk lantai, dinding serta tiang masjid.
Kejayaan projek pembesaran Masjidil Haram menyaksikan penambahan pintu utama dan 18 pintu masuk dan dua menara baru setinggi 89 meter menyerupai tujuh menara sedia ada.
Selain itu, dua struktur binaan ditambah di utara dan selatan bangunan bagi menempatkan dua tangga bergerak baru.
Dengan itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan 56 tangga bergerak dan setiap satunya mampu menggerakkan 15,000 orang dalam masa sejam.
Keseluruhan kawasan lantai berkeluasan 40,000 meter persegi membabitkan lantai laman luar, di timur kawasan sai serta kawasan kompleks gerai yang dibuat menggunakan kepingan marmar putih.
Kawasan ini mampu mengurangkan kepanasan dan meningkatkan lagi kapasiti masjid hingga mampu menampung sejuta orang jemaah dalam satu masa.
Kadar hujan di Makkah adalah 100 milimeter setahun dan kebiasaannya hujan lebat pada musim sejuk.
Ia juga mengakibatkan banjir dengan aliran air yang laju yang melimpahi lembah khususnya Wadi Ibrahim.
Banjir beberapa kali melanda Makkah hingga merosakkan struktur Masjidil Haram.
Justeru, satu projek besar membabitkan saliran dan perparitan dilaksanakan di Makkah iaitu rangkaian besar terowong bawah tanah sepanjang 940,000 meter.
Projek ini dijalankan dalam empat peringkat. Tiga daripadanya dilaksanakan pada 1987 dan menelan belanja 983 juta Riyal Saudi.
Kejayaan projek ini memastikan Makkah dan Masjidil Haram selamat daripada ancaman banjir.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment