Saturday, February 16, 2008

Raja Suriansyah perkukuh dakwah Islam

BANJARMASIN adalah ibu kota Kalimantan Selatan, Indonesia yang juga dikenali 'Kota Bungas'. Perkataan Bungas adalah singkatan daripada bersih, unggul, nyaman, gagah dan serasi.

Akidah Islam yang tersebar ratusan tahun lalu menjadikan penduduk Banjarmasin warga yang rajin dan gigih. Mereka terbabit dalam pelbagai kegiatan perdagangan antara wilayah, di samping gigih mengusahakan tanah dengan pelbagai jenis kegiatan pertanian.

Majoriti penduduk Banjarmasin dari kalangan suku Banjar. Mereka bukan saja daripada rumpun Melayu yang kaya dengan budaya dan adat, malah mempunyai keistimewaan dan sejarah tersendiri dalam perniagaan.

Satu tradisi perniagaan yang masih diamalkan adalah Pasar Terapung. Pasar ini diadakan di tebing Sungai Barito, antara sungai utama di Banjarmasin.

Kegiatan berkenaan dipercayai dijalankan sejak 400 tahun lalu.

Setiap pagi, dianggarkan 400 hingga 500 perahu menyertai Pasar Terapung. Lazimnya, peniaga datang ke situ seawal jam 3 pagi.

Mereka bukan saja daripada peniaga sekitar Banjarmasin, malah dari kawasan pedalaman sekitar Kalimantan Selatan seperti hulu Sungai Martapura, Sungai Barito, Sungai Tabuk, Sungai Marabahan dan Sungai Margasari.

Antara jenis barangan yang dijual di pasar ini adalah sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan keperluan harian.

Ada juga beberapa peniaga yang membuka warung kopi walaupun berada di atas perahu dan berdepan dengan kemungkinan ombak besar.

Bagaimanapun, peniaga yang kebanyakan golongan wanita itu langsung tidak takut berniaga di Pasar Terapung, malah kerancakan mereka menjalankan perniagaan seolah-olah berada di daratan.

Pasar Terapung atau lebih dikenali Pasar Barito ini turut menjadi tarikan pengunjung dari seluruh Borneo yang mahu melihat lebih dekat tradisi masyarakat Banjar.

Peninggalan kerajaan Banjar masih kekal di Kampung Kuin. Kampung ini terletak di Kecamatan Banjar Utara.

Antaranya Masjid Suriansyah yang dibina oleh pemerintah Banjar pertama iaitu Raja Suriansyah hampir empat abad lalu.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat, masjid ini dibina sekitar 1528 selepas pengIslaman masyarakat Banjar.

Masjid ini dibaik pulih hampir empat kali pada zaman pemerintahan Sultan Tamjidillah pertama, cucu Sultan Suriansyah.

Patih Anom ialah arkitek yang mereka bentuk masjid terbabit. Beliau ialah tokoh yang amat disegani dan mempunyai keajaiban luar biasa.

Sebelum pembinaan masjid dijalankan, beliau dikatakan mengumpul kayu seorang diri untuk dijadikan tiang masjid.

Kegigihannya membangunkan masjid menjadi titik tolak kepada permulaan syiar Islam ke seluruh Kalimantan Selatan.

Di sebalik nama masjid, ia sebenarnya menyingkap kisah Suriansyah, pemerintah Banjarmasin yang banyak membantu mengukuhkan dakwah Islam di Kalimantan.

Suriansyah dipercayai pengasas pertama kerajaan Banjar pada penghujung 1400.

Ketika itu, kerajaan berkenaan menjadikan Kampung Kuin yang berhampiran Sungai Marabahan sebagai pusat pentadbiran kerajaan.

Suriansyah atau Raden Samudera ialah cucu Maharaja Sukarama, pemerintah kerajaan Daha Candi Agung Amuntai.

Beliau dilahirkan pada 1578. Ibunya, Puteri Galuh Intan Sari ialah anak Maharaja Sukarama, manakala bapanya ialah Raden Mantri Jaya.

Maharaja Sukarama dikatakan amat menyayangi Raden Samudera melebihi anak dan cucu yang lain. Malah, sebelum meninggal dunia, beliau sempat mewasiatkan bahawa tampuk pemerintahan akan diberikan kepada Suriansyah.

Bagaimanapun, wasiat itu mendapat tentangan daripada bapa saudaranya, Pengiran Temenggong. Justeru, dia merancang membunuh Suriansyah. Berikutan ancaman itu, Suriansyah terpaksa melarikan diri ke Bandar Masih, nama lama Banjarmasin.

Tindakan itu dibuat selepas mendengar nasihat Mangkubumi Aria Taranggara yang juga kerabat Diraja Sukarama. Peristiwa itu berlaku pada 1588.

Beliau dipercayai dihanyutkan dalam perahu. Sejak itu, bermula kisah kehidupan Raden Samudera sebagai Putera Mahkota terbuang.

Beliau dikatakan menyamar sebagai nelayan di muara Sungai Ajir, Belandean dan Sungai Kuin.

Berkat kesabaran dan kegigihan, akhirnya Suriansyah berjaya mendirikan kerajaan Banjar. Tetapi, dendam bapa saudaranya tetap membara.

Sekali lagi, dia merancang memusnahkan kerajaan Suriansyah.

Bagi mempertahankan diri, beliau meminta bantuan ketenteraan daripada panglima perang kerajaan Islam, Demak Khatib Dayan. Beliau berjanji akan memeluk Islam jika beroleh kemenangan.

Akhirnya, kemenangan berpihak kepada Suriansyah dan beliau segera menunaikan janji untuk memeluk Islam. Selepas berjaya dalam peperangan, Suriansyah pulang semula ke kampung asalnya dan kepulangan itu disambut penduduk Kuin.

Ketika mula-mula mengasaskan kerajaan Islam Banjarmasin, Sultan Suriansyah dan Khatib Dayan bergabung tenaga menyebarkan dakwah.

Perkembangan Islam di Banjarmasin turut menjadikan Pelabuhan Trisakti sebagai pangkalan perdagangan yang selamat.

Pelabuhan ini juga menjadi tempat persinggahan kapal dagangan dari Surabaya dan Sulawesi.

Sepuluh kapal besar berlabuh di situ setiap hari. Setiap pedagang pula membawa barangan seperti kekabu, alat gentian dan barangan plastik untuk dipasarkan ke seluruh kota Banjarmasin.

Pada 1772, muncul pula seorang tokoh yang banyak menyumbang ke arah perkembangan Islam di Banjarmasin iaitu Syeikh Arsyad Al-Banjari.

Beliau dilahirkan pada Mac 1710 di Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template