Saturday, February 16, 2008

Pengaruh Uthmaniah sebar Islam di Eropah

PENGARUH Islam yang dibawa Uthmaniah ke Semenanjung Balkan pada kurun ke-14 menjadikan Bosnia Herzegovina, negara tumpuan pelbagai masyarakat seluruh Eropah.

Bukti pengaruh Islam ini banyak kelihatan di Sarajevo, Mostar, Kosovo dan juga di Travnik.

Travnik bukan saja terkenal sebagai pusat pembangunan ilmu, malah antara wilayah yang menjadi tumpuan pedagang, terutama ketika pemerintahan Bizantine.

Pedagang menjadikan The Plava Boda atau Air Biru sebagai laluan utama dari Travnik ke Dubrovnik untuk memasarkan barang dagangan ke Balkan serta beberapa negara di benua Eropah.

Disebabkan kedudukannya yang hanya 90 kilometer di barat Sarajevo dan hampir dengan bahagian tengah Bosnia, Travnik juga lebih dikenali dengan ‘Bandar Kembar Bosnia’.

Ketika diperintah kerajaan Uthmaniah terutama pada 1686 hingga 1850, bandar ini menjadi tempat kediaman kebanyakan gabenor Uthmaniah.

Travnik terkenal sebagai wilayah yang pesat dengan perkembangan ilmu dan menjadi tumpuan masyarakat seluruh Balkan.

Sejak kedatangan Islam, budaya ilmu tetap subur. Banyak madrasah atau institut pendidikan agama didirikan pemerintah kerajaan Uthmaniah bagi mengembangkan budaya ilmu di Travnik.

Pada 1706, Elci Ibrahim Pasha, pemimpin Uthmaniah turut mendirikan madrasah untuk mengukuhkan pengembangan dan penyebaran Islam di kalangan penduduk tempatan.

Hasilnya, hingga hari ini, budaya menuntut ilmu berkembang di Travnik walaupun prasarana pendidikan berkurangan, lebih-lebih lagi selepas perang saudara pertengahan 90-an.

Ibu bapa pula gemar menghantar anak mereka ke madrasah bagi mengelak pengaruh komunis dan fahaman bertentangan dengan Islam.

Pengaruh Uthmaniah yang tiba di Balkan sekitar 1363 berjaya melahirkan generasi Eropah yang patuh kepada ajaran Islam.

Bukti kedatangan dan pembangunan Islam yang diwarisi kerajaan Uthmaniah tetap segar dalam ingatan masyarakat.

Masjid Sulaiman antara mercu tanda pengaruh Islam di Travnik. Masjid ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman.

Ia diperbaharui Gabenor Bosnia, Sopa Salam Camil Ahmad Pasha pada 1757.

Masjid ini juga pernah dibakar musuh Islam pada 1815 tetapi dibaiki oleh Aisha Hannumah Hafizadic pada 1839.

Selepas hampir tiga kurun pemerintahan Uthmaniah di Travnik, wilayah itu mendapat gelaran European Istanbul. Perkara ini disebabkan ada lebih 100 masjid dibina di sekitar bandar itu.

Sultan Sulaiman ialah pemerintah Uthmaniah yang amat menitikberatkan pembinaan masjid di wilayahnya. Beliau terkenal dengan gelaran Al-Qanuni.

Padanya, masjid adalah pusat pemangkin kekuatan ummah yang perlu diimarahkan.

Hakikatnya, Travnik turut mencipta sejarah ketika kedatangan Sultan Muhammad Al-Fateh yang memasuki wilayah itu melalui daerah Jajce.

Tidak jauh dari Travnik, Kampung Vukelji di puncak Bukit Vranica adalah pusat kerohanian yang dipercayai wujud sejak 1780.

Zawiyah atau tempat ahli tarikat berkumpul di atas bukit itu. Gerakan berkenaan diasaskan ahli sufi Bosnia, Syeikh Husin pada 1195.

Ketika meletus peperangan pada 1993, kawasan bukit itu dijadikan kubu pertahanan masyarakat Islam menentang tentera Serbia dan Croatia.

Selain Travnik, wilayah Fojnica menyingkap sejarah keagungan dan kedaulatan Islam.

Di sini, ia memperlihatkan kepada masyarakat tempatan bahawa Islam tidak sesekali mengancam mana-mana penganut agama lain.

Diriwayatkan, sewaktu tiba di sini, Sultan Muhammad Al-Fateh memberi kebenaran secara bertulis kepada penganut bukan Islam mengamalkan agama mereka.

Kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh memikat hati masyarakat Balkan, terutama di Fojnica selepas termeterai perjanjian pada 28 Mei 1463.

Perjanjian itu ditandatangani sendiri oleh Muhammad Al-Fateh dan diberikan kepada Saint Fransciscan, ketua gereja ketika itu.

Berdasarkan kandungan perjanjian, setiap orang boleh mengamalkan kepercayaan masing-masing, termasuk membina rumah ibadat.

Perkara ini disebabkan Islam langsung tidak menghalang penganut agama lain mendirikan rumah ibadat.

Malah, Islam melarang umatnya daripada mengganggu penganut agama lain mengadakan upacara keagamaan mereka.

Gereja Monastri atau Gereja Roman Katolik dalam kawasan Cross Hill yang dibina pada 1353 adalah antara bukti kebebasan beragama di Fojnica.

Dipercayai, gereja ini turut menyimpan lebih 4,000 manuskrip dalam bahasa Turki dan 13 buku pertama yang dicetak di Bosnia.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template