KEDATANGAN Islam di bumi Balkan membolehkan sebahagian besar rakyat di benua Eropah mendalami Islam dan mengamalkannya sebagai satu cara hidup yang lebih bertamadun.
Antara wilayah terawal yang menerima cahaya kebenaran Islam adalah Bosnia Herzegovina.
Negara ini pada asalnya didiami bangsa Illyria yang berketurunan Indo-Eropah. Mereka menetap di situ sejak abad ke-2 sebelum Masihi.
Ketika itu, raja perempuan, Teuta memerintah Bosnia dan beliau dipercayai raja cerdik dan bijaksana.
Kebijaksanaan itu menyebabkan Bosnia dan Semenanjung Balkan muncul sebagai wilayah yang tersohor di benua Eropah.
Sewaktu era pemerintahannya, Bosnia berkembang maju dalam kegiatan ekonomi dan ketenteraan.
Malah, kemasyhuran itu membolehkan Teuta menubuhkan kerajaan Illyria yang paling berpengaruh pada abad ke-3 sebelum masihi.
Bagaimanapun, kemajuan dicapainya kurang menyenangkan Rom. Sehubungan itu, pada 229 sebelum Masihi, Rom menyerang Illyria dan ia berlarutan hampir 167 tahun.
Akhirnya, kerajaan Illyria terpaksa tunduk dengan kekuatan Rom dan sejak itu, Rom yang menganut agama Nasrani menjajah Bosnia.
Kedatangan Islam ke Bosnia hanya bermula pada kurun ke-14 Masihi sebaik negara itu dikuasai kerajaan Uthmaniah.
Pada mulanya, penyebaran Islam agak sukar disebabkan pengaruh Rom, Hungary dan Bulgaria masih menebal dalam masyarakat.
Tetapi, usaha bersungguh-sungguh pendakwah dan kerajaan Islam membolehkan roh Islam bertambah kukuh di Bosnia.
Keadaan itu boleh dilihat di Sarajevo. Sarajevo yang bermaksud ‘Bandar Masjid’ kini menjadi ibu negara Bosnia dan menyimpan sejarah peradaban Islam seawal kurun ke-15.
Banyak masjid yang dipercayai dibina pada kurun ke-15 masih beroperasi dan giat menjalankan pelbagai kegiatan keagamaan.
Bagaimanapun, ketika perang saudara, masjid dijadikan sasaran tentera Serbia hingga mengakibatkan sebahagian masjid lama di bandar itu musnah.
Ketika Bosnia dijajah Kerajaan Austro-Hungary pada 1874, umat Islam langsung tidak dibenarkan menjalankan apa juga kegiatan di masjid.
Berbeza sewaktu pemerintahan kerajaan Uthmaniah, rumah ibadat agama lain tetap terpelihara, manakala penduduk diberikan kebebasan mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Penguasaan beberapa empayar di Bosnia juga menyebabkan wujud percampuran budaya dan bangsa. Namun, keadaan itu langsung tidak menimbulkan sebarang permusuhan.
Hakikatnya, mereka tetap hidup aman damai dan saling bekerjasama.
Bagaimanapun, keamanan yang terhasil hampir lebih 600 tahun itu bertukar menjadi permusuhan selepas Bosnia dibedil oleh tentera Serbia.
Peperangan itu mengakibatkan lebih 250,000 terkorban, manakala berjuta-juta menjadi pelarian dan hilang tempat tinggal.
Perkuburan Kovaci adalah antara kawasan perkuburan yang menempatkan lebih 1,200 pejuang Islam Bosnia yang terkorban dalam peperangan Serbia-Bosnia.
Ketika perang meletus, pejuang Islam serba kekurangan. Mereka hanya berkongsi senjata untuk menghadapi tentera Serbia yang dilengkapi pelbagai peralatan ketenteraan canggih.
Tetapi, semangat juang kental tentera Islam tetap membara yang seolah-olah mengimbau kekentalan tentera Uthmaniah ketika membuka Semenanjung Balkan pada 1037 Masihi.
Sarajevo, walaupun dikepung tentera Serbia hampir dua tahun, namun masih banyak bangunan di bandar itu yang terselamat.
Selain di Sarajevo, Islam bertapak kukuh di Kosovo. Sebelum dikuasai Islam, wilayah ini diperintah oleh Putera Lazar .
Kedatangan tertera Islam yang dipimpin Sultan Murad 1 menyebabkan berlaku peperangan dengan Lazar .
Beliau mahu menghalang kemaraan tentera Uthmaniah tetapi, kekuatan tentera Islam tidak mampu ditangkis Lazar.
Akhirnya Kosovo menjadi wilayah Islam dan berikutan itu, ramai rakyat Albania menetap di Kosovo.
Masyarakat Albania dikatakan menuntut kemerdekaan daripada Serbia seperti dilakukan oleh Croatia, Slav dan Macedonia.
Tuntutan itu, bagaimanapun, tidak dihiraukan Serbia kerana beranggapan memerdekakan Kosovo bererti membenarkan ‘Uthmaniah ke-2’ hidup kembali. Berikutan itu, warga Albania diusir dari Kosovo.
Hakikatnya, kehebatan Islam dikagumi penduduk Eropah bukan sewaktu era perluasan wilayah kerajaan Uthmaniah. Malah, sebelum itu, sudah ada beberapa siri hubungan diplomatik dan perdagangan antara pendakwah dan pedagang Arab dengan kerajaan di Eropah.
Kebaikan ditonjolkan pendakwah dan pedagang Islam itu menarik perhatian Raja Serbia ketika itu, Mikhail 111.
Justeru, beliau menghantar utusan kepada Khalifah Al-Mutaakkil Ibn Harun Al-Rashid pada 856 untuk mengadakan dialog agama.
Sekitar 922 Masihi, Raja Bulgaria juga menghantar wakil kepada kerajaan Abbasiyyah di Baghdad untuk untuk menyampaikan hasrat beberapa ahli keluarga yang mahu memeluk Islam.
Kerajaan Croatia yang dipimpin Putera Tomislav mengadakan hubungan baik dengan Khalifah Abdul Rahman al-Dakhil di Andalus. Mereka juga dipercayai sering bertukar-tukar hadiah.
Hubungan diplomatik itu juga memperlihatkan bahawa kedatangan Islam di Balkan dan di mana-mana wilayah bukan berdasarkan kekuatan ketenteraan, malah melalui dakwah serta keterampilan penganutnya.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment