Saturday, February 16, 2008

Perang Uhud peristiwa penting Syawal

PERANG Uhud adalah antara peristiwa penting pada Syawal. Peristiwa yang berlaku pada 7 Syawal tahun ketiga hijrah itu dinamakan Uhud bersempena lokasi peperangan iaitu di kawasan Bukit Uhud kira-kira enam kilometer ke selatan kota Madinah.

Syawal juga menyaksikan perang parit atau Perang Khandak yang berlaku pada tahun kelima hijrah apabila Yahudi menghasut kafir Quraisy supaya bermusuh dengan umat Islam di Madinah.

Di sebalik peperangan ini, umat Islam yang baru selesai menjalani tarbiah Ramadan dan meraikan Aidilfitri tidak sedikit pun terkecuali untuk sama-sama mempertahankan maruah dan diri daripada ancaman musuh.

Detik awal ghazwah (perang) Uhud bermula apabila penduduk Makkah Quraisy malu besar di atas kekalahan mereka dalam Perang Badar.

Tiada pedagang Quraisy berani lagi berdagang ke Syria bimbang jika ditangkap orang Islam. Jika keadaan itu berterusan, kota Makkah akan diancam bahaya kelaparan dan krisis ekonomi.

Oleh itu, semua pembesar Quraisy berunding untuk mendapatkan keputusan mengenai perkara itu. Mereka memutuskan semua keuntungan perdagangan pada tahun itu akan dipergunakan untuk membentuk satu angkatan perang yang kuat.

Oleh kerana Abu Jahal meninggal dunia, maka Abu Sufian diangkat menjadi panglima perang bagi memimpin angkatan 3,000 tentera. Antara ketua pasukan mereka yang ternama ialah Safwan, anak daripada Umaiyah Khalaf yang menyeksa Bilal dan Ikrimah, anak Abu Jahal.

Turut memimpin tentera ialah seorang yang gagah berani iaitu Khalid Ibnul-Walid. Kaum perempuan pula diketuai Hindun (isteri Abu Sufian). Mereka dikerah untuk menghibur dan menguatkan semangat perang anggota tentera. Mereka turut ke medan perang memukul genderang.

Kerana musuh terlalu ramai, Nabi Muhammad saw berniat akan bertahan dan menanti musuh dalam kota Madinah. Tetapi suara ramai, berdasarkan siasat perang menghendaki agar musuh diserang di medan perang. Nabi tunduk kepada keputusan orang ramai ini, sekalipun dalam hatinya berasa kurang tepat.

Dalam hal yang tiada turun wahyu, Nabi selalu berbincang dengan orang ramai dan keputusan mereka pasti dijalankan dengan tawakal dengan berserah kepada Allah.

Lalu Nabi masuk ke rumah memakai pakaian besinya dan mengambil pedangnya. Apabila Nabi keluar, ramai antara sahabat yang mengusulkan untuk menyerang tadi, menarik usul mereka kembali kerana ternyata kepada mereka pendirian Nabi adalah benar. Tetapi, keputusan itu rupanya tidak dapat diubah lagi, kerana Nabi berkata: "Tidak, kalau seorang Nabi telah memakai baju perangnya, dia tidak akan membukanya kembali sebelum perang selesai."

Tentera Islam hanya 1,000 orang. Semuanya berjalan kaki, hanya dua orang berkuda. Ramai pula antara mereka itu orang tua dan anak di bawah umur.

Sebelum matahari terbenam, mereka bertolak menuju ke Bukit Uhud. Setiba di pinggir kota Madinah, tiba-tiba 600 orang Yahudi, kawan Abdullah Ubay, menyatakan hendak turut bertempur bersama-sama Nabi. Tetapi Nabi sudah tahu maksud mereka yang tidak jujur, maka ditolaknya tawaran itu dengan berkata: “Cukup banyak pertolongan daripada Tuhan.”

Berikutan penolakan ini, Abdullah Ubay malu dan marah, lalu berusaha menakutkan kaum Muslimin, agar mereka jangan turut berperang. Tiga ratus kaum Muslimin dapat dihasut hingga kembali pulang ke Madinah. Mereka ini yang dinamakan kaum munafik. Maka tinggallah Rasulullah dengan 700 orang tentera saja menghadapi musuh yang jumlahnya empat kali ganda itu.

Tanpa diketahui musuh, sampailah kaum Muslimin di Bukit Uhud pada waktu dinihari. Nabi segera mengatur strategi perang. Bukit itu digunakan sebagai pelindung dari belakang, sedang dari sebelah kiri, dilindungi oleh Bukit Ainain.

Lima puluh orang diarahkan Rasulullah supaya menjaga celah bukit dari belakang dengan diketuai Ibnuz-Zubair. Mereka diperintahkan tidak boleh meninggalkan tempat itu, sekalipun apa juga yang akan terjadi.

Tiba-tiba kedengaran sorak gemuruh musuh dari bawah lembah. Mereka sudah melihat akan tentera Islam. Mereka bergerak maju, menyerang dengan formasi berbentuk bulan sabit, dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid sayap kanannya dan Ikrimah Abu Jahal sayap kirinya.

Seorang musuh meronta maju sampai tiga kali menentang tentera Islam.

Pada kali ketiga, maka melompatlah Zubair bagaikan harimau ke punggung unta itu. Musuh tadi dibantingkannya ke tanah, lalu dibedah dadanya oleh Zubair dengan pisau. Abu Dujanah selepas meminjam pedang Nabi sendiri, lalu menyerbu ke tengah-tengah musuh yang ramai itu. Pertempuran hebat berlaku dengan dahsyatnya.

Arta pemegang panji musuh gugur di tangan Hamzah. Sibak yang menggantikan Arta segera berhadapan dengan Zubair. Selepas Sibak tewas menyusul Jubair Mut'im menghadapi Hamzah, untuk membalas dendam kerana Hamzah dapat menewaskan pakciknya di medan Perang Badar. Jubair takut berhadapan dengan Hamzah. Hanya diperintahkan hambanya Wahsyi, bangsa Habsyi, dengan perjanjian apabila dapat menewaskan Hamzah dia akan dimerdekakan.

Dengan menyeludup di sebalik belukar dari belakang Hamzah dengan menggunakan tombak dia dapat menikam Hamzah. Hamzah adalah pemegang panji Islam pada waktu syahidnya. Panji itu segera diambil oleh Mus’ab ‘Umair.

Beliau juga tewas di hadapan Nabi sendiri. Ali tampil menggantikannya. Sebagai kilat Ali dapat menetak leher musuhnya yang memegang panji itu. – Bersambung

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template