Saturday, February 16, 2008

Aliran pendidikan teknikal tawar lapan jurusan

LAPAN jurusan ditawarkan bagi aliran pendidikan teknikal untuk pilihan lulusan Penilaian Menengah Rendah tahun ini yang memohon memasuki tingkatan empat di sekolah menengah teknik (SMT) pada sesi persekolahan tahun depan.

Jurusan itu ialah Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Pertanian, Perdagangan, Pengurusan Makanan, Pengajian Pakaian dan Pengaturcaraan Komputer.

Selain enam mata pelajaran wajib, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam/Pengetahuan Moral, Sejarah serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, setiap jurusan menawarkan beberapa subjek lain (rujuk jadual).

Secara umum, objektif pendidikan teknikal ialah memberi pendidikan asas dalam bidang sains dan teknologi kepada pelajar yang berkecenderungan dan mengekalkannya supaya mereka melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan di institusi pengajian tinggi kelak.

Jurusan Kejuruteraan Mekanikal menumpukan pemahaman konsep, prinsip asas dan teori bidang berkenaan, di samping penekanan pengetahuan serta pemahaman mengenai penggunaan kejuruteraan mekanikal dalam alam sekitar. Antara komponen dipelajari ialah pengenalan kepada kejuruteraan mekanikal, keselamatan, metrologi dan amalan bengkel.

Bagi jurusan Kejuruteraan Awam, pelajar akan didedahkan pengetahuan asas dalam bidang itu dan kerjaya berkaitan. Antara komponen utama dipelajari ialah proses pembinaan, bahan binaan, struktur kejuruteraan awam, geoteknik, ukur kejuruteraan, sistem pengangkutan, kejuruteraan jalan dan isyarat lalu lintas.

Jurusan Kejuruteraan Elektrik mendedahkan asas kejuruteraan elektrik dan elektronik secara umum meliputi aspek pengenalan, keselamatan, litar arus terus, litar arus ulang alik, keelektromagnetan, pengubah, separuh pengalir, diod, transistor dwikutub, komponen separuh pengalir lain, elektronik berdigit, perhubungan, pengenalan kepada komputer, motor elektrik dan robotik.

Dalam jurusan Pertanian pula, Agroteknologi memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam teknologi digunakan dalam industri pertanian. Antara komponen dipelajari ialah pengenalan kepada agroteknologi, pengkomputeran dalam industri pertanian, dan kejuruteraan dalam agroteknologi.

Manakala, Sains Pertanian pula adalah pengajian saintifik yang mengandungi prinsip amalan dalam penanaman, penternakan, teknologi dan pengurusan ladang.

Jurusan Perdagangan dibahagikan tiga, iaitu Pengajian Keusahawanan, Perdagangan dan Prinsip Akaun. Kandungan Pengajian Keusahawanan adalah kesinambungan mata pelajaran Perdagangan dan Keusahawanan tingkatan satu dan tingkatan tiga.

Perdagangan mendedahkan pengetahuan, pemahaman dan penggunaan prinsip serta amalan positif dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan berkaitan merangkumi pengeluaran, perdagangan, perniagaan, bantuan perniagaan, pelaburan, pemilikan perniagaan, konsumerisme dan etika amalan perniagaan.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template