Saturday, February 16, 2008

Islam diterima sebagai agama sejagat, berdaulat

KEDATANGAN Islam berjaya mengubah masyarakat Arab jahiliah kepada kehidupan yang lebih bertamadun. Sebelum tersebar dakwah Islam di Semenanjung Tanah Arab, mereka hidup secara kuno dan sering terbabit dalam pertentangan di antara kabilah.

Namun, kebenaran Islam akhirnya menyatupadukan mereka hingga menjadi umat berjaya dan bertakwa.

Walaupun berbeza keturunan, pangkat, budaya dan warna kulit, roh Islam yang sejagat berjaya menghapuskan sebarang persengketaan demi menegakkan keamanan serta kedamaian.

Sebab itu, masyarakat Islam dituntut menjaga keharmonian hidup, berbaik sangka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Kekejaman dan keganasan bukan cara umat Islam untuk menyelesaikan masalah.

Sinar keislaman ini bermula selepas lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad saw yang membawa nilai tauhid dan persamaan sesama manusia.

Baginda dilahirkan pada 12 Rabiulawal (Tahun Gajah) bersamaan 20 April 571 masihi di kota Makkah.

Baginda dinamakan Muhammad oleh datuknya, Abdul Muttalib. Perkataan Muhammad bermaksud ‘terpuji’.

Kelahiran Baginda seperti mana yang membawa ajaran Islam pada mulanya dianggap pelik bagi masyarakat Arab. Namun, akhirnya keganjilan itu bertukar kepada keinsafan dan kesedaran bahawa Islam adalah agama yang benar untuk dianuti seluruh manusia.

Kisah kerasulan ini bermula di Gua Hira’. Kerasulan bermaksud, Baginda selaku nabi yang diperintahkan menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia.

Malah, peristiwa ini menjadi titik permulaan lahirnya kuasa besar baru yang akhirnya menumbangkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi.

Pada mulanya, sebaik dilantik menjadi rasul, Baginda memulakan dakwah secara sulit. Tumpuan pertama Baginda ialah kaum kerabatnya terdekat dan antara yang mula-mula beriman ialah isteri Baginda, Siti Khadijah.

Ajaran Islam kian berkembang di Semenanjung Tanah Arab sebaik Baginda diperintahkan berdakwah secara terang-terangan.

Bagaimanapun, ketika itu juga, ancaman dan tentangan terhadap ajaran Baginda kian menjadi-jadi. Beberapa orang daripada kalangan yang awal memeluk Islam dihina dan dipulau, malah ada yang diseksa serta dibunuh.

Namun, berkat kesabaran dan kepatuhan serta keyakinan mereka kepada Islam, mereka tetap berpegang teguh dan tidak sesekali kecewa memeluk Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Dakwah Baginda juga menerima pelbagai ancaman daripada Musyrikin Makkah selepas kewafatan Siti Khadijah dan bapa saudara Baginda, Abu Talib.

Mereka adalah tokoh yang dihormati dan disegani masyarakat Arab Quraisy dan menjadi benteng kuat mempertahankan perjuangan Rasulullah.

Pun begitu, tidak sedikit pun pengikut Baginda berganjak, sebaliknya mereka tetap berada di belakang Baginda untuk sama-sama mengembangkan dakwah Islam.

Tidak hairanlah, walaupun selepas kewafatan Baginda, cahaya Islam terus bersinar dalam panji kebenaran, kesaksamaan dan keadilan kepada semua manusia.

Buktinya, beberapa kerajaan yang dibentuk selepas itu seperti Umaiyyah, Abbasiyyah, Fathimiyyah dan Uthmaniah berjaya membentuk tamadun manusia yang benar-benar berjaya.

Hingga kini, kesan peninggalan tamadun itu terutama peninggalan fizikal seperti bangunan masih kelihatan untuk ditatapi oleh umat hari ini.

Malah, Islam berjaya menjangkaui beberapa benua yang pada mulanya dikuasai oleh kuasa besar.

Di benua Eropah, Islam berjaya menguasai wilayah Balkan dan Sepanyol, selain ke benua Asia.

Ia menjadikan Islam sebagai agama sejagat yang berdaulat dan terbukti menguasai dunia walaupun pada mulanya ia dianggap agama baru yang menyimpang daripada kepercayaan nenek moyang mereka.

Yang pasti, Islam membawa sinar baru dalam masyarakat sekali gus merapatkan jurang permusuhan dan persengketaan sesama manusia.

Hakikatnya, Islam hanya mengutamakan ketakwaan dan keimanan kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas penentuan kedudukan manusia di sisi Ilahi.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template