NABI Ibrahim antara rasul yang banyak berhadapan dengan pelbagai cabaran hebat semasa berdakwah. Beberapa kesan peninggalan perjuangan dan kehidupan baginda masih kelihatan hingga kini terutama di daerah Sanli Urfa, Turki.
Selain kisah Nabi Ibrahim, wilayah ini menyingkap pelbagai tamadun lebih-lebih ia pernah dikuasai beberapa empayar besar dunia. Sudah tentu, penguasaan kuasa-kuasa besar seperti Rom, Parsi dan Islam di wilayah ini.
Antaranya dua tiang di Istana Corinthian dan beberapa bangunan lama yang dikaitkan dengan perkembangan tamadun Mesopotamia.
Malah, ada riwayat yang mengaitkan raja kerajaan Osroane yang berpengaruh di daerah ini iaitu Abgar Ukomo yang hidup sezaman dan beriman dengan Nabi Isa.
Bagaimanapun, wilayah ini lebih terkenal dengan tanah kelahiran rasul yang bergelar kekasih Allah, Nabi Ibrahim. Tempat kelahiran baginda ditanda dengan sebuah masjid iaitu Masjid Maulidi Halil yang menempatkan sebuah gua.
Gua ini turut dikaitkan dengan tempat kelahiran Nabi Ibrahim. Diriwayatkan ibu baginda melahirkan baginda dalam gua yang terletak dalam masjid ini.
Ia disebabkan, beliau khuatir tindakan Raja Namrud yang ketika itu melaksanakan dasar pembunuhan bayi lelaki.
Justeru, sejak dilahirkan, Nabi Ibrahim dikatakan tinggal dalam gua ini hingga berusia tujuh tahun.
Bagaimanapun ada pandangan lain yang membuktikan Baginda lahir di Basrah, Iraq.
Malah, kaum Kurdis di selatan Turki mendakwa Baginda itu daripada keturunan mereka disebabkan perkataan Ib-ra-him pada nama baginda bermaksud lahir dalam gua.
Di situ juga, ada sumber air semula jadi yang dikatakan digunakan oleh ibu dan baginda untuk keperluan harian.
Meskipun mendapat ancaman daripada Namrud dan penduduk, baginda tidak pernah mendoakan azab seksaan kepada golongan yang ingkar.
Dari segi riwayat hidup, bapa baginda Azar, seorang tukang ukir berhala dan tidak beriman kepada Allah bahkan mencaci serta mengusir anaknya sendiri, Nabi Ibrahim.
Begitu juga kaumnya yang enggan meninggalkan amalan penyembahan berhala. Bagaimanapun, demi menegakkan agama Tauhid, baginda sanggup berhadapan dengan Raja Namrud.
Akibatnya, baginda ditangkap dan dibakar hidup-hidup. Akan tetapi, al-Quran menyatakan apabila baginda dicampak ke dalam api, ia menjadi dingin. Api itu sedingin air kolam dan tidak sedikit pun mencederakan baginda.
Ini adalah mukjizat daripada Allah sebagai bukti kebenaran dakwah yang dibawa oleh pesuruh-Nya.
Selepas itu, Nabi Ibrahim meninggalkan Sanli Urfa menuju Palestin, namun hal sama berlaku di situ apabila tradisi penyembahan berhala juga diamalkan masyarakat di situ.
Bukti penyembahan berhala itu masih kelihatan hingga kini iaitu kuil Namrud Dag di Gunung Namrud. Kawasan ini terletak sejauh 95 kilometer di Timur Laut Adiyaman. Kuil yang terletak pada ketinggian 2,000 meter dari paras laut dikatakan tempat bersemadi dewa-dewa commagene dan raja-raja.
Sejarawan menjelaskan, ia dibina oleh Maharaja Empayar Commagene, Antiochus bagi kegiatan pemujaan sekitar kurun pertama sebelum masihi.
Beliau juga membina beberapa tugu dan setiap tugu itu mempunyai nama tertentu seperti Tugu Apollo, Zeus, Hercules, Tyche dan Antiochus.
Masing-masing berukuran lapan hingga 10 meter. Bagaimanapun, kebanyakan tugu ini pecah dan ada yang musnah disebabkan gempa bumi.
Patung Antiochus, maharaja yang membina kuil turut dilukis pengikut agama ini sebagai tanda kenangan kepada maharaja mereka.
Selain itu, beberapa maklumat dalam Bahasa Hellenic dan Parsi mengenai undang-undang, agama dan riwayat hidup raja-raja commagene masih terpelihara pada dinding kuil terbabit.
Antiochus turut memiliki persamaan dengan Namrud di mana kedua-duanya mendakwa diri sebagai tuhan. Namun janji Allah itu tetap dikota, bahawa kedua-duanya dihumban ke dalam neraka disebabkan kedegilan mematuhi ajaran rasul-Nya.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment