Saturday, February 16, 2008

Edirne bandar penting pentadbiran Empayar Uthmaniah

KEJATUHAN Sepanyol tidak mengekang usaha penyebaran dan kegemilangan Islam. Hakikatnya, empayar Islam terus berkembang, terutama ketika zaman pemerintahan empayar Uthmaniah di Turki.

Turki sebenarnya diasaskan Constantine, Maharaja Rom pertama yang menganut agama Nasrani.

Negara ini juga dikenali sebagai negara dalam dua benua. Bahagian utara negara itu berada dalam benua Eropah, manakala bahagian selatan berada dalam benua Asia.

Bahagian Eropah di Turki hanya meliputi tiga peratus keluasan negara itu, manakala selebihnya berada di bahagian Asia.

Keadaan muka bumi dan iklim yang berbeza antara utara dan selatan turut menyebabkan wujud kepelbagaian dalam kebudayaan dan kehidupan masyarakat Turki.

Kebangkitan kerajaan Uthmaniah bermula selepas kejatuhan kerajaan Abbasiyyah di Tangan Timur Lenk

Keadaan ini menyebabkan empayar Islam seolah-olah berdepan dengan masalah kepemimpinan.

Dalam suasana tidak menentu itu, muncul gerakan Islam di Bitynia yang terletak di bahagian Barat Laut Anatolia. Gerakan ini dikenali sebagai Uthmaniah.

Pengasas gerakan itu ialah Uthman Ghazi yang juga anak kepada pemimpin dan pahlawan Turki Ortoghul Ghazi.

Ortoghul juga pernah dilantik sebagai ketua untuk mengawal sempadan wilayah jajahan empayar Seljuk daripada dicerobohi tentera Bizantine.

Selepas beliau meninggal dunia pada 1281, Uthman dilantik sebagai pengganti bapanya.

Kehebatan Uthman menyerlah melalui kebijaksanaannya menyusun strategi dan mengelirukan musuh.

Sebaik menjadi ketua, Uthman menjalin persahabatan dengan ketua sempadan Bizantine dan pada masa sama, dia melancarkan perang propaganda terhadap musuh.

Akhirnya, cita-citanya untuk menubuhkan kerajaan Islam berjaya selepas dia menegakkan kerajaan kecil Bithynia pada 1299 masihi.

Ahli sejarah berpendapat, kelahiran Uthman untuk membentuk empayar yang digeruni dan disegani musuh, lebih-lebih lagi kejayaannya membuka sebahagian besar wilayah baru di Semenanjung Balkan dan Greek.

Uthman meninggal dunia pada 1324 masihi dan makamnya kini dipercayai terletak di Bukit Tophane.

Sumbangannya cukup besar kepada dunia Islam dengan pelbagai kejayaan mengalahkan Bizantine

Tampuk pemerintahan diambil alih pula oleh Orhan Ghazi, anak Uthman yang terkenal sebagai pemimpin cekal dan tabah.

Ketika era pemerintahannya, beliau berjaya menawan Busra pada 1326 yang terletak 50 kilometer dari Kota Konstantinapol.

Pada 1345, Orhan berpakat dengan pemerintah Bizantine, John Cantacuzenus untuk menyerang Serbia.

Melalui kerjasama ketenteraan itu, akhirnya tercetus ikatan perkahwinan antara Orhan dengan anak perempuan John.

Pada mulanya, John menganggap Orhan akan menurut perintahnya, tetapi Orhan sebenarnya mempunyai niat tersendiri.

Buktinya, Orhan menolak permintaan John untuk berperang bersamanya. Akibatnya, John meminta bantuan kerajaan Bulgaria dan Serbia untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniah.

Bagi Orhan, empayar jajahannya perlu dikawal terlebih dulu kerana kekuatan Islam ketika itu bergantung kepada keutuhan kerajaan.

Berikutan itu, dia menubuhkan pasukan elit yang dikenali Janissari. Anggota pasukan itu dari kalangan pahlawan terlatih dan berani yang diharapkan menjadi benteng pertahanan empayar Uthmaniah.

Kekuatan tentera Turki yang dipimpin Orhan menyerlah selepas berjaya bertapak di Gallipoli berhampiran Dardanelles pada 1354 masihi.

Kejayaan membuka wilayah Gallipoli mengejutkan masyarakat Eropah Barat.

Ia juga menyebabkan pemimpin negara Eropah terpaksa menangguhkan peperangan dengan Venice dan Genoa semata-mata memberi tumpuan kepada kebangkitan Islam ketika itu.

Antara perkampungan awal kerajaan Uthmaniah adalah Cumalikizik. Sementara, antara bandar penting pentadbiran Uthmaniah adalah Edirne. Wilayah ini terletak di sebelah Eropah Turki.

Edirne dipercayai pernah dijadikan pusat pemerintahan Uthmaniah yang kedua ketika pemerintahan Sultan Murad 1.

Sebelum itu, bandar ini menjadi lokasi penting bagi Bizantine untuk menghubungkan benua Eropah dengan Kota Konstantinapol.

Selepas ditakluki Islam, sinar Islam kian berkembang di Edirne. Banyak masjid dan madrasah didirikan oleh pemerintah Uthmaniah.

Antara masjid yang menjadi kebanggaan Edirne sejak 400 tahun lalu adalah Masjid Selimiye. Masjid ini dibina Sultan Salim ke-2 daripada Dinasti Uthmaniah kesebelas.

Ia dibina pada 1569 dan siap sepenuhnya pada 1579. Koca Sinan ialah ketua arkitek yang membina Masjid Selimiye.

Beliau berpengalaman luas dan mereka bentuk lebih 300 bangunan.

Hari ini, rakyat Turki hidup dalam lembaran sejarah yang menyingkap pelbagai kerajaan silam yang banyak memberi pengajaran terhadap erti keamanan dan perpaduan.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template