Saturday, February 16, 2008

Islam keluarkan Eropah daripada kegelapan

SEVILLE yang terletak di selatan Madrid adalah antara kota penting ketika pemerintahan Islam di Sepanyol. Kota ini diasaskan hampir 250 tahun sebelum masihi ketika di bawah pemerintahan Rom.

Ia menjadi sebahagian daripada kawasan Guadalquavir atau Wadi Kabir yang bermaksud lembah besar.

Seville menerima peradaban Rom, akan tetapi pengaruh tamadun Rom tenggelam selepas sinar Islam mula menyinari wilayah itu.

Seville atau Ishbilliyah dalam bahasa Arab pernah dikuasai kerajaan Vandal dan Visigoth sekitar 411 hingga 441 Masihi.

Sinar Islam tiba di Sepanyol pada 712 selepas Seville diambil alih oleh pemerintah Bani Umaiyah di bawah pimpinan Abdul Aziz bin Musa Al-Nusair.

Disebabkan lokasi yang strategik, Seville atau Sevilla menjadi pintu masuk utama ke Sepanyol.

Kehadiran Islam membawa bersama kegemilangan ilmu, tamadun dan kesenian hingga zaman kemuncaknya ketika kerajaan Al-Muwahhidun.

Pemimpin kerajaan terbabit membina menara Torre Del Oro ataupun menara emas pada 1220.

Bangunan lain yang turut dibina adalah menara kawalan yang digunakan untuk memantau pergerakan kapal dagang yang menyusuri sungai Gualdalquavir, di samping mengesan kehadiran pihak musuh.

Tampuk pemerintahan kerajaan Islam di Seville kerap bertukar tangan, namun ia tidak menjejaskan pembangunan bandar ini.

Malah, beberapa binaan yang diasaskan kerajaan sebelum Islam tetap terpelihara.

Misalnya, bangunan Plaza De Espana yang menampilkan seni bina Rom. Bangunan itu dianggap paling indah di Seville.

Kini, ia dijadikan bangunan parlimen dan dikatakan dibina pada 1630.

Selain Plaza De Eespana, bangunan yang masih terpelihara adalah Masjid Jami’. Ia dibina pada kurun ke-12 oleh Bani Al-Muwahidun bagi menggantikan masjid kecil yang dibina Ibnu Abbad, Gabenor Seville pada kurun ke-11.

Tapak masjid seluas 15,000 meter persegi dikatakan wujud sejak 712 masihi.

Peralihan kuasa mengubah fungsi masjid itu. Kini, ia dijadikan Gereja Empayar Gothic yang terbesar di Sepanyol dan ketiga di dunia selepas Saint Peter di Vatican serta Saint Pauls di London.

Dalam gereja itu, dipercayai jasad Christopher Columbus, orang pertama yang menemui Amerika dikebumikan.

Sebagai menghormati jasanya, pemerintah empat kerajaan iaitu Aragon, Leon, Castile dan Navarra mengusung kerandanya.

Bangunan lain adalah Menara Giraldar yang dikatakan menjadi tempat muazin (bilal) melaungkan azan.

Ia dibina Khalifah Abu Yaakub Ibnu Abu Yusuf pada 580 hijrah bersamaan 1184 masihi.

Sebanyak 76 peratus daripada ketinggian menara itu dibina pada era pemerintahan Islam.

Selepas pemerintahan Islam di Sepanyol berakhir, menara itu mengalami dua fasa perubahan. Pertama, pada 1520 dengan penambahan loceng dan kedua, pada 1568 dengan membina patung wanita setinggi empat meter di puncaknya.

Bandar Granada yang terletak di kawasan lembah juga adalah antara kawasan paling terkenal.

Antara kawasan tumpuan adalah kota bersejarah Al-Hambra yang menjadi benteng terakhir di Andalusia selepas satu persatu wilayah Islam jatuh ke tangan musuh.

Kota Al-Hambra tersergam indah di bukit Sierra Nevada yang dulunya menjadi tempat berkumpul golongan mufti atau mereka yang dipertanggungjawabkan menghadiri sesuatu majlis atau urusan membabitkan kerajaan.

Kota ini memiliki reka bentuk bersepadu yang menggabungkan istana, kota pertahanan dan bandar diraja.

Ia tersenarai sebagai antara 21 bangunan tercantik di dunia. Kota Al-Hambra bermaksud merah menjadi lambang kesenian Granada.

Ia terhasil daripada reka bentuk dan seni bina yang jelas melambangkan ketulenan kesenian Islam.

Kota ini mengandungi bilik yang dipenuhi kesan seni khat kufi. Seni rekaannya adalah gabungan unik kaligrafi yang bertemakan tumbuh-tumbuhan dan gubahan berkonsepkan geometri.

Keindahan Al-Hambra membuktikan kemampuan empayar Nasriah ketika era pemerintahan Muhammad Al-Ahmar atau Muhammad 1.

Dalam tempoh 50 tahun pemerintahannya, dia membuktikan kecemerlangan Islam dalam bidang seni bina di benua Eropah, walaupun menerima pelbagai ancaman daripada pihak musuh.

Hakikatnya peradaban Islam adalah pembimbing masyarakat Eropah keluar daripada kegelapan menuju kemajuan.

Seni bina Islam terus kekal di semenanjung Iberia walaupun pemerintahannya sudah lama meninggalkan wilayah itu.

Setiap kerajaan mempunyai zaman kegemilangan dan kejatuhannya.

Pada kurun ke 14 Masehi kerajaan Aragon di bawah pimpinan Isabella dan Castile pimpinan Ferdinand bersatu menentang kerajaan Granada.

Akhirnya, dinasti Al-Ahmar di bawah pimpinan Abu Abdullah yang digelar Boabdil menyerah kalah dan melarikan diri ke Maghribi.

Sementara itu, orang Islam di Granada dipaksa memeluk Nasrani dan buku berkaitan Islam dibakar.

Pada 1502, kerajaan Nasrani menghalau mengusir keluar masyarakat Islam dari Granada jika mereka enggan memeluk Kristian.

Antara faktor kejatuhan Abu Abdullah yang juga panglima perang di Granada adalah bilangan pejuang Islam yang amat sedikit berbanding musuh.

Dengan itu, Andalusia kecundang pada 1573 masihi. Deklarasi penyerahan Granada kepada Raja Ferdinand dilakukan Sultan Muhammad Ali bin Nazar pada 28 Julai 1493.

Majlis penyerahan itu dilakukan di perkampungan terakhir umat Islam iaitu Bukhara selepas 18 bulan Granada ditawan Raja Ferdinand.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template