Saturday, February 16, 2008

Sepanyol banyak simpan peradaban Islam

SEPANYOL terkenal sebagai negara yang mempunyai seni bina silam yang cantik di dunia. Keindahan itu boleh dilihat dan dihayati di beberapa bandar yang suatu ketika dulu pernah dikuasai oleh kerajaan Islam seperti Cordoba, Toledo dan Madrid.

Ketiga-tiga bandar ini terletak dalam kawasan wilayah selatan yang lebih dikenali sebagai Al-Andalus.

Al-Andalus meliputi dua pertiga muka bumi Sepanyol dan antara kawasan paling ramai dikunjungi pelancong dari seluruh dunia.

Kemasyhuran wilayah ini disebabkan beberapa faktor dan paling tepat, ia berpunca daripada pengaruh Islam yang bertapak di situ hampir 500 tahun.

Ia ditambah pula dengan budaya lain seperti Iberian, Greek, Phoenician, Yunani, Korthaginian, Rom, Visigoth, dan Kristian.

Difahamkan, pada era pemerintahan Visigoth sekitar 414 Masihi, budaya dan kefahaman masyarakat tempatan agak berbeza dengan kerajaan.

Justeru, bagi menyamakan budaya dan kefahaman itu dengan budaya tempatan, di samping mahu mengelak kemarahan rakyat, Visigoth yang ketika itu menganut fahaman Kristian Arian turut menganut fahaman Katolik.

Pada ketika itu, sebahagian besar rakyat Sepanyol menganut fahaman Khatolik.

Antara budaya yang masih dipegang dan popular di kalangan rakyat Sepanyol adalah laga lembu yang mempamerkan sikap dan ketangkasan Matador dalam menumpaskan lawan.

Pengaruh Islam juga meluas di Sepanyol. Hingga kini, banyak masjid dan sekolah beroperasi di beberapa wilayah dalam negara itu.

Di Madrid, Pusat Kebudayaan Islam yang dibina kerajaan Sepanyol adalah antara kawasan tumpuan umat Islam.

Ia adalah sebuah kompleks menempatkan masjid, perpustakaan, kelas pengajian, restoran dan kedai.

Pembukaannya dirasmi Raja Sepanyol, Juan Carlos pada 24 Rabiulawal 1413 Hijrah bersamaan 21 September 1992.

Bagi masyarakat Islam Madrid, fungsi masjid cukup penting dalam pembentukan ummah, lebih-lebih lagi mereka adalah rakyat minoriti di Sepanyol.

Kini, Pusat Kebudayaan Islam Madrid dibuka untuk kunjungan orang ramai sejajar dengan usaha memperkenalkan Islam kepada masyarakat agama lain.

Bandar lain yang banyak menyimpan sejarah dan peradaban Islam adalah Toledo yang terletak hampir 70 kilometer ke selatan Madrid.

Dulu Toledo dikenali sebagai Tolatitola. Berdasarkan catatan sejarah, wilayah di Semenanjung Iberia ini ditakluk Islam selepas enam bulan Tariq Bin Ziyad menyeberangi Gibraltar.

Sebelum berjaya, Tariq terpaksa berperang dengan tentera Roderick berjumlah 100,000 orang, sedangkan pada ketika itu, tentera Islam hanya berjumlah 12,000 orang.

Difahamkan, pada 19 Julai 711 Masihi, kedua-dua pasukan tentera itu bertempur di Guadalete dan peperangan mengambil masa hampir seminggu.

Akhirnya, tentera Islam berjaya mengalahkan tentera musuh. Dalam peperangan itu juga, Roderick terbunuh, manakala sebahagian besar tentera melarikan diri.

Sepanjang pemerintahan Islam di Toledo, penduduk berbilang kaum dan agama bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa sebarang gangguan.

Bagaimanapun, kebebasan itu terkubur selepas wilayah berkenaan ditakluki oleh Alfonso ke-4.

Selain Islam, Toledo berada dalam pemerintahan Rom pada 192 sebelum Masihi. Sementara, Visigoth menguasai Toledo pada 570 hingga 711 Masihi.

Salah satu industri yang masih menjadi tradisi masyarakat Toledo adalah membuat pedang. Industri itu dipercayai beroperasi sejak zaman Rom dan Visigoth.

Bagaimanapun, jika dilihat kaedah pembuatan yang digunakan, ia sebenarnya menyingkap sejarah teknologi Islam yang bertapak di situ lebih 900 tahun lalu.

Antara pedang menjadi tarikan adalah Pedang Busahaja. Sejak zaman silam, pedang dipercayai digunakan untuk berperang dan menjadi simbol kekuasaan sesebuah kerajaan.

Pembukaan kawasan Gibraltar dan ditambah pula kejayaan mengalahkan Roderick memberikan semangat kepada tentera Islam.

Justeru, dalam beberapa siri peperangan, tentera Islam berjaya mengalahkan musuh dan membuka beberapa wilayah baru.

Selepas Toledo, tentera Islam berjaya menawan Cordoba. Wilayah itu walaupun pernah dikuasai Rom dan Visigoth, namun kegemilangan bandar ini hanya dicapai ketika dikuasai Islam.

Cordoba juga dijadikan pusat pemerintahan kerajaan Islam Sepanyol. Menjelang kurun ke-10, wilayah Cordoba masyhur ke seluruh dunia.

Ketika ditadbir Islam, Cardoba mencapai zaman kegemilangan terutama pada era pemerintahan Abdul Rahman Al-Dakhil.

Beliau membina banyak masjid dan yang terkenal adalah Masjid Cordoba.

Rekaan masjid itu dipercayai idea Abdul Rahman. Pembinaannya melalui tiga fasa iaitu pada zaman pemerintahan Abdul Rahman 11, Al-Hakam 11 dan Al-Mansur.

Kesenian Islam terserlah pada reka bentuk masjid dan ia diibarat sebutir permata dunia seni bina Islam.

Kecantikan masjid ini amat dikagumi masyarakat Eropah yang memperlihatkan nilai dan kehalusan seni bina menjangkaui kemampuan akal manusia.

Kos pembinaan masjid ini pada peringkat awal dianggarkan mencecah 80,000 dinar.

Masjid Cordoba disokong beribu-ribu tiang batu yang bertatahkan permata. Mimbar masjid pula diperbuat daripada gading dan kayu yang tinggi nilainya.

Ia pula dilekatkan pada dinding menggunakan paku yang diperbuat daripada emas.

Bahagian mihrab pula dilitupi kulit telur yang dipercayai dijadikan alat untuk memudahkan jemaah mendengar khutbah dengan lebih baik.

Ketika pemerintahan Abdul Rahman al-Dakhil, masjid Cordoba dijadikan pusat perkembangan ilmu, kesenian dan kesusasteraan benua Eropah.

Berikutan itu, beliau menjemput ramai ilmuwan dari kalangan ahli fikah, ulama, ahli falsafah dan penyair ke Cordoba untuk mengembangkan ilmu masing-masing.

Pada era pemerintahan Abdul Rahman 11 pula, universiti didirikan bersebelahan masjid. Pada zaman pemerintahan Al-Hakam Al-Muntasir pula, Cordoba mencapai era kegemilangan dalam pelbagai bidang ilmu.

Bersesuaian kedudukan Cordoba sebagai pusat perkembangan dan kecemerlangan ilmu, ramai ilmuwan terkenal muncul, antaranya Isa Bin Dinor dan Yahya Bin Yahya al-Laithi.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template