Saturday, February 16, 2008

Kerajaan Tallo perkukuh syiar Islam di Makasar

MAKASAR atau Ujung Pandang adalah ibu kota wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia. Bandar ini didiami lebih 1.3 juta penduduk dan kebanyakan mereka bekerja sebagai pelaut.

Mereka amat berani kerana sanggup belayar ke beberapa pulau di Nusantara dan mengharungi Lautan Hindi hingga ke Madagaskar membawa dagangan rempah.

Menerusi perdagangan rempah, pelabuhan Makasar menjadi tumpuan kapal asing, terutama dari Eropah ketika Melaka dikuasai Portugis pada kurun ke-16.

Kapal Portugis dipercayai pernah mendarat di pelabuhan itu. Begitu juga dengan Belanda yang pernah menguasai Makasar hampir tiga kurun.

Banyak peninggalan silam yang masih boleh dilihat di situ. Benteng Ujung Panjang atau Fort Rotterdam adalah antara penemuan bersejarah tinggalan kerajaan Gowa.

Pada mulanya, ia hanya sebuah kota yang diperbuat daripada tanah. Benteng itu dibina Raja Gowa ke-10 sekitar 1545.

Belanda menguasai kota itu selepas 120 tahun digunakan kerajaan Gowa. Sewaktu penjajahan Belanda, benteng kota dibaik pulih dan dinamakan Fort Rotterdam.

Pada zaman penjajahan Jepun, kota ini dijadikan Pusat Pengajian Bahasa dan Pertanian.

Sebaik tiba di Kepulauan Maluku yang kaya dengan pengeluaran rempah, Belanda bertekad untuk berperang dan menguasai rempah.

Tindakan itu untuk mengatasi kekuasaan Inggeris dan Portugis yang turut menguasai beberapa wilayah di Nusantara.

Di Sulawesi Selatan pula, Belanda menghasut beberapa kerajaan tempatan agar sama-sama menentang kerajaan Gowa.

Berikutan itu, pada 1666, berlaku peperangan antara Belanda dengan kerajaan Gowa selepas Sultan Hasanuddin mengisytiharkan perang terhadap Belanda.

Dalam pada itu, kerajaan Buton, Ternate dan Bone turut berpakat dengan Belanda untuk menghapuskan kekuasaan kerajaan Gowa di Sulawesi Selatan.

Beberapa pertempuran meletus pada 1666 hingga 1669. Ahli sejarah menamakan peperangan itu sebagai Perang Makasar.

Serangan tidak berterusan daripada Belanda dan sekutunya, memaksa Sultan Hasanuddin menandatangani Perjanjian Bongaya 1667.

Dalam perjanjian itu, Belanda mengarahkan semua kota pertahanan kerajaan Gowa diruntuhkan kecuali benteng Somba Opu dan Ujung Pandang.

Kolonial Belanda menjadikan benteng Ujung Pandang sebagai pusat pentadbiran.

Benteng Somba Opu di muara Sungai Jeneberang dipercayai kubu terakhir kerajaan Gowa pimpinan Sultan Hasanuddin. Ia dibina oleh Raja Gowa ke-9.

Bagaimanapun, dalam Perang Makasar yang meletus pada 24 Jun 1669, benteng Somba Opu musnah selepas dibedil Belanda.

Tiga hari selepas itu, Sultan Hasanuddin menyerah takhta kepada anaknya yang baru berusia 13 tahun.

Mulai saat itu, kerajaan Gowa kian lemah dan akhirnya terkubur selepas Sultan Hasanuddin mangkat pada 1671 sewaktu berusia 41 tahun.

Fort Rotterdam juga mempunyai sejarah tersendiri. Kawasan ini dipercayai pernah menyaksikan peperangan antara Pangeran Diponegoro dengan Belanda antara 1825 hingga 1830.

Tentangan hebat daripada Diponegoro menyebabkan pengaruh Belanda di Sulawesi terancam beberapa tahun. Belanda hanya berjaya memulihkan keadaan selepas berjaya menangkap Diponegoro menggunakan tipu muslihat.

Diponegoro juga dipenjarakan di Fort Rotterdam pada 1833 selepas dipindahkan dari Manado. Beliau meninggal dunia pada 1855.

Beberapa tahun selepas kematian Diponegoro, kolonial Belanda membunuh 40,000 penduduk Sulawesi Selatan dalam tempoh 100 hari. Peristiwa pahit itu berlaku antara Disember 1946 hingga Mac 1947.

Meskipun kerajaan Gowa tidak mampu bertahan lama, saki baki kerajaan itu tetap bertapak di utara Makasar.

Kerajaan itu adalah kerajaan Tallo. Kerajaan ini diasaskan oleh adik Raja Gowa ke-7 pada awal abad ke-15.

Pengaruh Islam yang dibawa kerajaan Tallo kian meluas sewaktu dipimpin oleh Sultan Alauddin. Beliau ialah Raja Gowa yang pertama memeluk Islam.

Bagaimanapun, pengaruh Islam dipercayai wujud di Makasar sebelum Sultan Alauddin memeluk Islam. Kampung berkenaan didiami pedagang Melayu dari Johor, Pattani, Campa dan Minangkabau.

Kedatangan Islam membolehkan syiar Islam terus bertapak kukuh di Makasar. Banyak masjid didirikan antaranya Masjid Katangka. Masjid ini adalah masjid pertama dibina di Sulawesi Selatan.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template