Saturday, February 16, 2008

Pengaruh Islam kukuh di Samarinda

SAMARINDA yang terletak di tepi Sungai Mahakam dikenali sebagai kota 'tepian'. Tepian adalah singkatan daripada perkataan teduh, rapi, aman dan nyaman.

Wilayah ini dipercayai diasaskan oleh orang Bugis daripada kerajaan Gowa. Mereka berhijrah dari Selatan Sulawesi pada kurun ke-18 selepas dikalahkan oleh Belanda dalam pertempuran Gowa.

Belanda dikatakan tidak senang dengan Raja Gowa, Sultan Hasanudin kerana berjaya menyatukan kerajaan kecil Makasar di bawah panji Islam.

Berikutan itu, Belanda bergabung dengan Sultan Bugis Arupalaka untuk menjatuhkan kekuasaan Sultan Hasanudin di Makasar.

Tentangan kuat daripada kedua-dua pihak itu mengakibatkan Sultan Hasanudin menyerah kalah dan Beliau terpaksa menandatangani Perjanjian Bongaya pada 1667.

Dalam perjanjian itu, beliau dipaksa menyerahkan daerah yang dikuasai kepada Belanda. Sebahagian pejuang Bugis yang menentang Perjanjian Bongaya berhijrah ke daerah yang dikuasai kerajaan Kutai.

Kedatangan mereka disambut baik Raja Kutai, malah mereka diberikan kawasan rendah untuk meneruskan kehidupan.

Lama-kelamaan, kawasan itu berkembang dan dikenali sebagai Samarinda. Perkataan Samarinda dikatakan diambil dari 'sama rendah'. Ia merujuk kepada persamaan hak dan kedudukan masyarakat tanpa dipisahkan oleh perbezaan darjat serta keturunan.

Kegigihan dan kerajinan masyarakat Bugis itu akhirnya menjadikan Samarinda sebagai pusat perdagangan dan ekonomi terkenal di Kalimantan.

Pengaruh Islam juga kian kukuh di Samarinda. Masjid Al-Hikmah dibina oleh kerajaan di tengah-tengah Pasar Segiri untuk memudahkan peniaga mendirikan solat.

Secara tidak langsung, ia juga memberi ruang kepada mereka menginsafi dan menghargai keamanan hingga mereka mampu mencari rezeki dalam suasana aman serta selamat.

Masjid ini dibina pada 30 Disember 2002 dan menjadi tumpuan guru agama seluruh Indonesia untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat sekitar.

Selain itu, Masjid Raya Darussalam adalah antara daya tarikan pelancong ke kota Samarinda. Ia didirikan sekitar tahun 70-an. Pada 1990, masjid ini diubah suai berdasarkan reka bentuk masjid di Asia Barat.

Pembukaannya dirasmikan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Sudomo dan gabenor Kalimantan Timur, Soewandi.

Sejarah kerajaan Kutai pula banyak tersimpan di wilayah Tenggarong. Kerajaan Kutai adalah kerajaan tertua di Indonesia yang dipercayai bertapak di Kalimantan Timur pada 400 masihi di bawah pemerintahan Raja Kudungga.

Selepas Raja Mularwaman mengambil alih, Kota Muara Kaman pula dijadikan pusat pemerintahan kerajaan Kutai Martadipura.

Pada awal kurun ke-13, kerajaan itu ditentang oleh Aji Batara Agung Dewa Sakti, Raja Kutai Kartanegara.

Peperangan kedua-dua kerajaan Kutai berlanjutan hingga kurun ke-16. Akhirnya, kemenangan berpihak kepada Aji Pangeran Sinum Panji, pemerintah ke-8 kerajaan Kutai Kartanegara.

Pengaruh Islam mulai tersebar di Kutai pada kurun ke-17. Sultan Aji Muhammad Idris yang memerintah pada 1735 dikatakan Sultan Kutai pertama memeluk Islam.

Kerajaan Kutai walaupun mempunyai wilayah jajahan yang luas seperti di Kutai Barat, Kutai Timur, Balik Papan, Bontang dan Samarinda, namun ia tidak mampu menghadapi tentangan Belanda yang dipimpin Komando Hooft pada 1844.

Akhirnya, Kutai menjadi sebahagian daripada jajahan Belanda yang ketika itu berpusat di Betawi. Makam Diraja Kutai masih terpelihara di Kutai dan sering dikunjungi oleh pelancong yang mahu menyingkap sejarah wilayah berkenaan.

Antaranya, makam Sultan Sulaiman Khalifatul Mukminin. Beliau dilahirkan pada 1317 hijrah dan mangkat pada 1897. Beliau ialah Sultan Kutai ke-17

Selain itu, makam Sultan Sulaiman, pemerintah Kutai Kartanegara ke-7. Beliau memerintah Kutai pada 1850 hingga 1899. Sultan Sulaiman juga terkenal sebagai seorang yang alim dalam bidang ilmu agama.

Beliau menghormati ulama dan melantik mereka sebagai penasihat kerajaan Kutai.

Sultan Aji Muhammad Parikesit atau Sultan Parikesit ialah pemerintah Kutai terakhir. Selepas Indonesia merdeka, kesultanan Kutai Kartanegara diubah kepada Daerah Istimewa Kutai atau Kabupaten.

Manakala, Sultan Parikesit dilantik sebagai Bupati atau pegawai daerah Kutai. Bagaimanapun, pentadbiran beliau tidak kekal lama. Pada 1960, hak keistimewaan kepada daerah Kutai dimansuhkan, manakala Sultan parikesit ditahan pemerintah.

Selepas dibebaskan, Sultan Parikesit hidup sebagai rakyat biasa. Beliau meninggal dunia pada 1980. Wilayah Balik Papan pula menyimpan sejarah dan lagenda tersendiri.

Nama wilayah ini diambil sempena kisah Raja Kutai yang meminta penduduk asli suku Balik menghantar 1,000 keping papan untuk membina istana baru Kutai.

Papan itu dihanyutkan melalui sungai, akan tetapi hanya 10 keping yang sampai ke Kutai. Hari ini, Balik Papan terkenal dengan gelaran 'Balik Papan kota beriman'.

Majoriti penduduk daripada kaum Dayak Pasir dan beberapa suku lain seperti Jawa, Banjar, Bugis, Madura dan Menado.

Kesultanan Kutai berjaya membangun Balik Papan sebagai pusat pembangunan ekonomi dan penyebaran Islam.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template