Saturday, February 16, 2008

Pedagang Arab sebarkan Islam ke Brunei

BRUNEI Darussalam, negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja, banyak menyumbang kepada penyebaran dan pengukuhan Islam di wilayah Borneo, Indonesia.

Dakwah Islam dipercayai tersebar ke negara itu sekitar kurun ke-7 menerusi pedagang dan pendakwah Arab.

Kedatangan Islam membolehkan rakyat Brunei menikmati sistem kehidupan lebih tersusun dan terhindar daripada adat bertentangan dengan akidah Tauhid.

Awang Alak Betatar ialah Raja Brunei yang pertama memeluk Islam dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muhammad Shah.

Beliau terkenal sebagai pengasas kerajaan Islam di Brunei dan Borneo. Pedagang dari China yang pernah ke Brunei merakamkan beliau sebagai Ma-Ha-Mo-Sha. Beliau meninggal dunia pada 1402.

Awang Alak dipercayai menganut Islam daripada Syarif Ali iaitu pendakwah dari Taif. Beliau dikatakan daripada keturunan Ahlul Bait yang bersambung dengan keluarga Rasulullah melalui cucu Baginda, Saidina Hassan.

Pendekatan dakwah Syarif Ali tidak sekadar menarik hati Awang Alak, malah dakwahnya menambat hati rakyat Brunei. Dengan kebaikan dan sumbangan besarnya dalam dakwah Islam di Brunei, beliau dikahwinkan dengan puteri Sultan Muhammad Shah.

Selepas itu, beliau dilantik menjadi Sultan Brunei atas persetujuan pembesar dan rakyat tempatan.

Sebagai pemimpin dan ulama, Syarif Ali gigih mendaulatkan agama Islam antaranya membina masjid dan melaksanakan hukum Islam dalam pentadbiran negara.

Selepas tujuh tahun memerintah Brunei, pada 1432, Syarif Ali meninggal dunia dan disemadikan di Makam Diraja Brunei.

Satu lagi catatan bersejarah yang membuktikan penyebaran Islam di Brunei adalah Batu Tarsilah.

Catatan pada batu ini menggunakan bahasa Melayu dan huruf Arab. Dengan penemuan itu, ia mengukuhkan bukti pedagang Arab yang datang ke Brunei dan sekitar Borneo untuk menyebarkan dakwah Islam.

Kegiatan membina masjid untuk dijadikan pusat kegiatan keagamaan dan penyebaran Islam sentiasa dititikberatkan oleh pemerintah Brunei.

Terbaru adalah pembinaan Masjid Jami’asr Hassanal Bolkiah yang kini menjadi mercu tanda dan keagungan dakwah Islam di Brunei.

Masjid ini dirasmikan pada 14 Julai 1994 iaitu terbesar di negara dan mampu menampung lebih 3,000 jemaah pada satu-satu masa.

Dakwah Islam yang bertapak kukuh di Brunei turut mempengaruhi wilayah lain termasuk ke Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Trend penyebaran Islam di Sabah juga menyamai di Brunei. Pedagang dan pendakwah Arab memainkan peranan penting menyebarkan dakwah kepada penduduk di Sabah.

Mereka menyusuri sungai, pulau dan pesisir pantai untuk memastikan penduduk Sabah dapat menerima kebenaran Islam.

Oleh kerana tumpuan pendakwah hanya di kawasan mudah dikunjungi, dakwah kepada penduduk pedalaman seperti kepada suku Kadazan Dusun agak terbatas.

Tetapi, ketika ini, ramai penduduk suku terbabit yang memeluk Islam selepas usaha berterusan daripada pendakwah tempatan. Daerah Kota Belut adalah antara wilayah yang didiami oleh suku kaum Bajau.

Kedudukan daerah itu yang berhampiran dengan pantai memudahkan pendakwah ke situ untuk menyeru masyarakat ke-pada kebenaran.

Hingga kini, banyak budaya diamalkan terhasil daripada amalan pedagang masa silam. Selain di Sabah, kegigihan pendakwah Arab membawa kesan mendalam kepada berpuluh-puluh suku kaum di Sabah Sarawak.

Sarawak turut menerima pengaruh Islam yang dibawa pedagang Arab.

Kewujudan beberapa sungai yang menjadi nadi penghubung masyarakat tempatan dengan daerah lain memudah dan merancakkan penyebaran dakwah Islam di Sarawak.

Sewaktu penjajahan British yang dipimpin James Brooke, beberapa tokoh ulama muncul dan tersohor di kalangan penduduk tempatan, antaranya Syeikh Othman.

Beliau ialah anak tempatan Sarawak yang berjaya menempa nama sebagai guru di Masjidil Haram, Makkah.

Perkembangan Islam turut menyebabkan arus perubahan ketara kepada masyarakat di sepanjang tebing sungai di Sarawak.

Antaranya, wilayah Kuching yang kini ibu negeri Sarawak. Bandar Kuching adalah wilayah yang mempamerkan corak pembangunan yang seiring dengan penyebaran Islam.

Masjid pertama dibina di Kucing pada 1852. Binaan asalnya diperbuat daripada kayu. Tetapi kini, ia diperbaharui dan dibaik pulih untuk memastikan ia terus dapat dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam.

Bandar Kuching diasaskan Pengiran Mahkota Brunei pada 1824. Sebelum Kuching, rakyat tempatan lebih tertumpu ke daerah Santubong.

Tidak hairanlah kini, daerah Santubong turut dikaitkan dengan kedatangan Islam yang dibawa oleh kesultanan Brunei. Gunung Santubong adalah antara kawasan yang dipercayai menyimpan pelbagai peristiwa kesultanan Brunei di Sarawak.

Kawasan berkenaan berkenaan dikatakan menjadi markas pemerintahan Islam kesultanan Brunei sebelum dipindahkan ke Brunei Darussalam.

Kerajaan Brunei dikatakan melantik seorang wakil dari kalangan kerabatnya untuk mentadbir kawasan ini. Antaranya Sultan Tengah yang kini dimakamkan di kaki Gunung Santubong.

Kedudukan Santubong yang berhampiran laut dan bandar Kuching memungkinkan kedua-dua daerah ini suatu ketika dulu menerima kehadiran pedagang serta pendakwah Arab yang membawa risalah Islam.

Pengaruh kesultanan Brunei dan penyebaran Islam turut tersebar ke Pontianak, ibu kota Kalimantan Barat.

Pontianak diasaskan pada 23 Oktober 1771 oleh Syarif Abdurahman, anak ulama Arab dari Hadramaut. Beliau ialah anak kepada Syed Habib Husein, pedagang dan pendakwah Arab yang giat berdakwah kepada raja di Tanjungpura hingga ke Mempawah.

Diriwayatkan Syarif Abdurahman bercita-cita menubuhkan kerajaan Islam di wilayah itu. Bagi maksud itu, beliau mendirikan masjid di persimpangan Sungai Kapuas Kecil dan Sungai Landak. Sejak itu, masjid berkenaan dijadikan pusat perkembangan Islam dan kebudayaan Melayu.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template