SULAWESI antara tempat paling kuat pengaruh Islam di Indonesia. Banyak peninggalan sejarah melambangkan pengaruh Islam di daerah itu.
Antaranya Masjid Katangka yang pertama dibina di Sulawesi pada awal kurun ke-17. Masjid paling tua ini terletak di Kabupaten Gowa, kira-kira 45 minit dari pusat bandar Makasar.
Pemerintah di daerah itu iaitu Raja Gowa ke-14 memeluk Islam pada 9 Jamadilawal 1014 hijrah bersamaan 22 September 1605 dan dikenali sebagai Sultan Alauddin.
Beliau dikebumikan di Bukit Tamalate, Sungguminasa. Kawasan pemakaman beliau dulunya adalah tapak istana kerajaan Gowa sebelum kurun ke-16.
Bersebelahan makam itu bersemadi jasad cucunya, Sultan Hasanuddin yang terkenal dengan kepahlawanan menentang penjajahan Belanda.
Selain Raja Gowa, golongan pemerintah lain yang mentadbir Sulawesi adalah keturunan Raja Tallo.
Antara pemerintah yang terkenal dalam susur galur Raja Tallo ialah Sultan Muzaffar yang juga Raja Tallo ke-7. Beliau mangkat pada 1641.
Begitu juga Raja Tallo Karaeng Katangka, Sultan Abdullah Awwal Al Islam dan Raja Goa Daeng Manra'bia.
Selepas beriman, Raja Gowa dan Raja Tallo merahsiakan keimanan mereka daripada pengetahuan umum selama lebih dua tahun.
Salah seorang pengkaji sejarah Sulawesi, Prof Dr Ahmad Sewang berpendapat, pengisytiharan keIslaman di wilayah itu dibuat pada 9 November 1607 dan ketika itu, Islam menjadi agama rasmi kerajaan Gowa-Tallo.
Untuk memantapkan usaha dakwah, Raja Gowa bersama mangkubuminya, Raja Tallo bersama-sama menyebarkan Islam ke negara jiran yang berketurunan Bugis seperti Bone, Soppeng dan Wajo.
Tiga kerajaan Bugis itu menentang seruan Gowa-Tallo dan membentuk gabungan hingga tercetusnya perang. Akhirnya, Bone adalah kerajaan terakhir menerima Islam selepas mengalami kekalahan pada 1611.
Dengan penerimaan Bone terhadap Islam, sebahagian besar wilayah Sulawesi selatan berjaya menerima dakwah Islam kecuali Tana Toraja.
Ulama lain yang memperjuangkan Islam adalah dari Minangkabau iaitu Datuk Ri Bandang Abdul Ma'mur Khatib Tunggal. Beliau juga perintis dakwah di Sulawesi selatan.
Datuk Ri Bandang dikatakan berketurunan Melayu dari Padang Darat, Kampung Kota Tengah, Sumatera.
Beliau bersama dua sahabatnya, Sulaiman Khatib Sulung bergelar Datuk Ri Patimang dan Abdul Jawad Khatib Bongsu yang bergelar Datuk Ri Tiro, berjaya dalam dakwah mereka di istana dan mengIslamkan Raja Gowa dan Tallo.
Salah satu wilayah di Sulawesi iaitu Sengkang terkenal dengan penghasilan tenunan sutera Bugis yang halus dan indah.
Antara pengusaha tenunan yang ada di wilayah itu ialah Haji Ali Tika yang mampu menghasilkan purata 600 hingga 800 kain sutera daripada 25 mesin tenunan seminggu.
Benang sutera asli yang digunakan berasal dari Hong Kong dan juga sutera tempatan. Penenun memperoleh 3,000 rupiah bersamaan RM1.25 untuk setiap meter yang dihasilkan.
Setiap enam meter fabrik yang siap diwarnakan pula dijual dengan harga 25,000 rupiah iaitu kira-kira RM11. Sementara, untuk fabrik mentah yang belum diwarnakan hanya 17,000 rupiah.
Namun, sepasang kain tenunan sutera berukuran enam meter dijual pada harga 300,000 rupiah di kota Makasar.
Corak tradisional menjadi identiti kepada fabrik Sutera Sengkang. Ia mempunyai sedikit benang emas dan perak bagi menghiasi motif fabrik.
Setiap helai fabrik sutera yang dihasilkan dijual kembali oleh orang tengah dengan harga 130,000 rupiah.
Antara peninggalan Islam yang masih dikekalkan di Makasar adalah Masjid Raya Makasar. Ia dalam proses pembinaan semula dan dijangka selesai tahun hadapan.
Asalnya, masjid ini dibangunkan bersempena kemerdekaan Indonesia. Masjid ini mendapat gelaran masjid perjuangan oleh Ketua Umum Masjid Raya Makasar, Kiyai Haji Sanusi Baco.
Perkara ini membuktikan ulama silam berperanan besar dalam perjuangan kemerdekaan. Pelbagai majlis diadakan di masjid ini termasuk sembahyang Tarawih dan majlis hari raya.
Rata-rata masyarakat Islam di Makasar berpegang teguh kepada iman dan agama mereka serta dapat membentuk peribadi mulia.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment