MAKKAH sebelum kedatangan Nabi Ibrahim hanya kawasan lembah gersang, sunyi dan tidak berpenghuni. Ia hanya dijadikan kawasan laluan pedagang dari utara dan selatan Semenanjung Tanah Arab.
Bagaimanapun, selepas Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar menetap di situ, lama kelamaan Makkah bertukar menjadi kawasan tumpuan lalu membangun pesat hingga hari ini.
Berkat doa Baginda, Makkah terus makmur dan buminya kian melimpah dengan pelbagai rezeki walaupun iklimnya tidak menentu.
Ia ditambah lagi dengan kewujudan telaga zam zam, sekali gus menjadikan Makkah sebagai wilayah tumpuan pedagang Arab dan suku kaum Jurhum.
Kedudukan Makkah bertambah masyhur sebaik Nabi Ibrahim membina kaabah selepas mendapat wahyu daripada Allah.
Jelas, kewujudan kaabah hingga hari ini membuktikan ketaatan dan ketakwaan Baginda, di samping satu manifestasi kepada penyatuan manusia pelbagai bangsa di seluruh dunia.
Keadaan itu terus kekal hingga sekarang di mana manusia pelbagai bahasa, budaya dan keturunan berhimpun di Makkah ketika mengerjakan haji.
Selain Makkah, bandar di selatan terutama di Yaman dan Syam di utara Semenanjung Tanah Arab juga terus berkembang dengan pelbagai kegiatan perdagangan.
Di Aden, Yaman umpamanya, bandar pelabuhan itu sentiasa menerima pedagang dari luar Arab seperti India dan China. Kapal dari kedua-dua negara terbabit membawa 1,001 barangan.
Keadaan ini menjadikan Aden sebagai tempat tumpuan pedagang seluruh Arab, termasuk pedagang berbangsa Quraisy dari Makkah.
Mereka merentasi gurun dan wadi sebelum sampai ke Aden untuk menukar barangan di sana sebelum dibawa pulang ke wilayah masing-masing.
Ada juga pedagang Arab Quraisy membawa barangan dari Yaman untuk dijual di Syam yang kini dikenali sebagai Syria.
Ada riwayat menyatakan Baginda berulang alik ke Syam dan Yaman sebanyak lima kali.
Malah, ada riwayat yang menyatakan Nabi Muhammad saw sendiri pernah beberapa kali ke Syam untuk berdagang.
Pertama, ketika Baginda berusia 12 tahun bersama bapa saudaranya, Abu Talib.
Antara kawasan tumpuan ketika itu ialah Bosra. Malah, Baginda diriwayatkan pernah berniaga di pasar Bosra dan memperoleh keuntungan berkali ganda berbanding pedagang lain.
Di situ juga, Baginda bertemu seorang rahib bernama Buhaira’. Beliau juga menasihatkan Abu Talib supaya terus membawa pulang Rasulullah khuatir sesuatu perkara buruk berlaku kepada Baginda.
Kali berikutnya, Baginda ke Bosra bersama Siti Khadijah Khuwailid, saudagar dan hartawan yang akhirnya menjadi isteri Baginda. Ketika itu Baginda berusia 25 tahun.
Hingga kini, simbol kedatangan Islam masih boleh dilihat iaitu Masjid Saidina Umar al-Khattab. Masjid ini dibina selepas kerajaan Islam pimpinan Umar berjaya mengusir Bizantine dari Syam.
Sesungguhnya kepesatan Yaman sebagai tempat tumpuan pedagang dari Syam dan seluruh Arab terus menjadikan bandar di wilayah itu sebagai kawasan rebutan.
Tidak hairan dengan kepesatan itu juga, Yaman sering menjadi rebutan kuasa besar, termasuk yang terakhir kolonial Inggeris.
Jika dilihat kepada latar belakang sejarah Yaman, ia sebenarnya terkenal sejak sekian lama. Kerajaan silam seperti Saba dan kemasyhuran kaum Thamud dan ‘Ad dalam pelbagai perdagangan diwarisi masyarakat di situ sejak berkurun-kurun.
Kesan peninggalan kerajaan silam itu boleh dilihat hingga kini di seluruh Yaman terutama di Sana’a.
Tidak cukup setakat itu, ramai tokoh masyhur lahir dari Yaman. Dalam bidang kesusasteraan, Imru Ul-Qais berjaya melonjak negara kelahirannya, Yaman hingga ke Konstantinople di Turki yang ketika itu diperintah Rom.
Dengan kehebatan dan kemahiran beliau dalam dunia kesusasteraan, beliau terus terpilih sebagai penyair istana Maharaja Justin.
Tidak cukup setakat itu, kehebatan Imru Ul-Qais terserlah apabila karya ciptaan beliau termasuk dalam Mu’allaqah Sab’ah, koleksi tujuh syair tersohor ketika zaman Arab jahiliah.
Ketika itu, karya beliau digantung pada dinding Kaabah untuk ditatap pengunjung Makkah sebagai tanda penghormatan terhadap usaha beliau. Selain itu, ia sering dideklamasi di Suq Ukkaz, Zul Majaz dan Majinnah.
Namun apa yangpaling mustahak, syair ini sebenarnya menjadi aset berharga untuk mengenali sosio budaya masyarakat Arab jahiliah yang gigih berusaha memartabatkan bangsa dan negara mereka.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment