Saturday, February 16, 2008

Yaman banyak kesan anbia

YAMAN adalah antara negara yang banyak menyimpan pelbagai kesan perjuangan anbia. Antara nabi dan rasul yang banyak berjuang memperkukuhkan dakwah Islam di sini ialah Nabi Hud.

Baginda adalah rasul keempat yang wajib dipercayai oleh umat Islam. Menjadi fitrah seorang rasul, mereka diuji dan ditekan oleh masyarakat disebabkan enggan mengikut dakwah kepada kebenaran.

Tidak hairan ujian dan cabaran yang ditempuhi oleh Nabi Hud juga cukup mencabar.

Perkara ini disebabkan Baginda berdepan dengan kaum ‘Ad, kaum yang mengingkari seruan kepada kebenaran.

Kaum ‘Ad sebenarnya mendiami wilayah Al-Ahqaf di selatan Semenanjung Arab. Lebih khusus lagi, Al-Ahqaf adalah kawasan lembah di Utara Hadramaut, Yaman, bersempadan Oman dan Gurun Ar-Rub Al-Khali.

Pengkaji sejarah menjelaskan bahawa kaum ‘Ad adalah kabilah Arab daripada kumpulan Al-`Amaliqah atau Arab Al-Baaidah.

Mereka memiliki ilmu yang membolehkan penduduknya membangunkan sektor pertanian di Al-Ahqaf. Selain pertanian, mereka dikatakan membina bangunan tinggi, di samping mengembangkan pelbagai teknologi seni bina.

Meskipun dianugerahkan dengan pelbagai kebijaksanaan dan kepakaran serta nikmat melimpah ruah, kaum ‘Ad tidak mahu beriman kepada Allah walaupun sudah diutuskan Rasul.

Jelas, dakwah yang disampaikan Nabi Hud tidak dilayan, bahkan Baginda ditempelak dan dianggap sebagai orang gila.

Betapa dahsyatnya sikap kaum ‘Ad terhadap Baginda hingga mereka dikenakan bala oleh Allah berbentuk kemarau berpanjangan.

Diriwayatkan, hujan tidak turun di kampung mereka selama tiga tahun. Akibatnya, bumi yang dulunya subur bertukar gersang.

Mereka walaupun dikenakan bala, tetap kufur kepada Allah. Buktinya, mereka tetap menyembah berhala yang dinamakan Shada, Shamuuda dan Hara. Tidak cukup setakat itu, mereka memusuhi mana-mana individu yang beriman ajaran Nabi Hud. Ada antara mereka dihina, diugut dan tidak kurang juga ada yang dibunuh.

Diriwayatkan, pengikut Nabi Hud beriman dicampak hidup-hidup ke dalam perigi oleh kaum ‘Ad. Dengan sikap mereka yang ganas terhadap pengikut agama Tauhid, tidak hairanlah Allah menurunkan azab seperti mana dinyatakan dalam al-Quran.

Al-Quran menjelaskan bahawa Allah menurunkan bala kepada kaum ‘Ad akibat kesesatan mereka terhadap nikmat Allah dan kezaliman serta kesombongan mereka.

Dalam al-Quran dijelaskan bahawa kaum ‘Ad yang sombong dan takbur itu mati bergelimpangan seperti tunggul kurma yang lapuk akibat bencana Tuhan yang berlanjutan selama lapan hari.

Yang pasti, hanya Nabi Hud dan pengikut Baginda yang terselamat dalam bencana itu. Mereka yang beriman dengan akidah Tauhid ini ternyata memperoleh ketenangan dan terhindar daripada sebarang malapetaka sebagai balasan mengakui serta meyakini ajaran rasul-Nya.

Nabi Hud dikatakan wafat pada usia 464 tahun dan dikebumikan di Syi'bu Hud, salah satu kawasan di wilayah Al-Ahqaf dan ia masih berada dalam keadaan baik hingga hari ini.

Selain kesan di sebalik perjuangan Nabi Hud dengan kaum ‘Ad, beberapa arkeologi prasejarah pada kurun kelima sebelum masihi turut dijumpai di wilayah Al-Ahqaf.

Ahli sejarah meriwayatkan bahawa kawasan ini sebenarnya tempat persinggahan pedagang yang menghubungkan laluan pesisir ke kawasan pedalaman.

Selain kisah perjuangan Nabi Hud, Yaman menyingkap sejarah perjuangan Nabi Salleh dengan kaum Thamud.

Seperti mana kaum ‘Ad, kaum Thamud mengingkari ajaran Tauhid dan tetap berpegang dengan kepercayaan nenek moyang mereka.

Namun, ketentuan Tuhan tetap sama kepada sesiapa saja yang kuf dengan nikmat-Nya. Di dunia, mereka akan menerima kegagalan dan di akhirat pula akan dikenakan seksaan yang pedih.

Inilah yang berlaku kepada kaum Thamud yang kufur di mana mereka turut ditimpa bencana dan azab hingga mereka lenyap dari bumi ini.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template