Saturday, February 16, 2008

Musyrikin nyaris temui Nabi, Abu Bakar

ANCAMAN Musyrikin terhadap umat Islam kian bertambah berikutan ramai penduduk Makkah meninggalkan kepercayaan nenek moyang demi kebenaran agama Islam.

Ramai sahabat dan orang awal yang memeluk Islam diseksa supaya meninggalkan Islam seperti Bilal dan Amar Yasir.

Ancaman, ugutan dan penghinaan juga dikenakan kepada Rasulullah saw kerana bagi mereka, Baginda dianggap penyebab segala masalah yang tercetus ketika itu.

Sebenarnya, tekanan Musyrikin Makkah kepada umat Islam semakin hebat selepas Abu Talib dan Khadijah meninggal dunia.

Ia ditambah penerimaan Islam di kalangan penduduk Madinah yang amat memberangsangkan berikutan hasil pertemuan Baginda dengan wakil penduduk ketika musim haji di Makkah.

Pertemuan itu dikenali sebagai Baiah Aqabah atau Perjanjian Aqabah pertama dan kedua.

Dalam pertemuan kedua pula, wakil penduduk Madinah memberi Bai'ah atau janji setia dan mengalu-alukan penghijrahan Rasulullah.

Sahabat, Mus'ad Bin Umair diutuskan ke Madinah untuk menyebarkan Islam dan mengajar al-Quran di kalangan Muslim Madinah.

Keadaan ini yang meresahkan Musyrikin hingga mereka merancang pelbagai perkara bagi menghalang penyebaran Islam.

Dengan ancaman itu, Nabi Muhammad mendapat wahyu daripada Allah supaya berhijrah ke Madinah.

Namun, ketika hendak berhijrah, ancaman Musyrikin kian hebat. Diriwayatkan, rumah Rasulullah dikepung beberapa pemuda mewakili setiap kabilah Quraisy dengan niat membunuh Baginda.

Bagaimanapun, percubaan itu gagal. Lelaki yang sedang tidur pada sangkaan mereka ialah Rasulullah, tetapi sebenarnya Ali bin Abi Talib. Ali sanggup menjadi perisai bagi memperdaya Quraisy.

Hakikatnya, Rasulullah keluar terlebih awal menuju ke rumah Abu Bakar.

Ahli sejarah seperti At-Tabari dan Ibn Hisyam meriwayatkan Baginda bertolak ke rumah Abu Bakar pada malam Khamis, 1 Rabiulawal. Sebelum terbit fajar pula, mereka keluar mengikut pintu belakang menuju ke Jabal Thur.

Kegagalan itu mengundang kemarahan di kalangan kaum Quraisy. Justeru, mereka menawarkan hadiah 100 unta kepada sesiapa yang berjaya menangkap atau membunuh Baginda.

Sebaik mendaki Jabal Thur dan selepas tiba di Gua Thur, Baginda dan Abu Bakar bermalam selama tiga malam.

Bekas hamba yang dimerdekakan Abu Bakar, Amir bin Fuhairah ditugaskan mengembala kambing di lereng Jabal Thur.

Susu kambing diperah pada waktu malam untuk diberi minum kepada Rasulullah dan Abu Bakar.

Diriwayatkan, Asma, anak perempuan Abu Bakar turut bersusah payah mendaki Jabal Thur pada waktu malam untuk membawa bekalan makanan kepada Rasulullah dan bapanya.

Malah, beliau banyak memberi sumbangan kepada kelangsungan hijrah Baginda ke Madinah.

Asma lebih dikenali sebagai ‘empunya dua tali pinggang’ disebabkan kain yang mengikat pinggangnya dikoyak dua bagi mengikat bungkusan makanan pada unta tunggangan Baginda dan Abu Bakar.

Gua Thur bersaiz kecil dan hanya mampu menampung dua dewasa bersaiz sederhana. Malah, pintu gua agak rendah.

Diriwayatkan, sebaik Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ, tiba-tiba pada suatu ketika, lokasi itu akhirnya ditemui Musyrikin Makkah.

Mereka masih mencari-cari di sekitar puncak Jabal Thur, namun hati mereka tidak terlintas untuk menjenguk ke dalam gua ini.

Andai salah seorang daripada Musyrikin Makkah itu tunduk menggaru betis, pasti dia akan melihat Baginda dan Abu Bakar sedang bersembunyi.

Pada masa itu, Abu Bakar cemas dan bimbang keselamatan Baginda terancam. Lalu Rasulullah menenangkan Abu Bakar dan mengingatkan bahawa Allah sentiasa bersama mereka.

Dalam pada itu, labah-labah dan dua merpati bersarang di pintu gua, sekali gus menolak kemungkinan ada sesiapa bersembunyi dalamnya.

Pada hari berikutnya dan apabila keadaan tenang, kedua-duanya keluar dari Gua Thur lalu menuju ke Madinah.

Abu Bakar menyediakan dua unta untuk perjalanan hijrah itu. Malah, Abu Bakar mengeluarkan semua wang simpanannya berjumlah lima ribu dirham sebagai bekalan.

Bagi mengelak dijejaki Musyrikin, mereka mengikut laluan arah selatan di Pesisir Laut Merah. Ketika itu, mereka dibantu oleh Abdullah bin Aroqat.

Ahli sejarah berpendapat, tempoh perjalanan Baginda adalah lapan hari. Sebaik tiba di Quba, kawasan pinggiran Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, Baginda disambut oleh penduduk sekitar.

Kebanyakan ahli sejarah berpendapat Baginda tinggal di Quba' selama empat hari sebelum bertolak ke bandar Madinah.

Peristiwa itu berlaku pada Jumaat 16 Rabiulawal tahun pertama hijrah. Bagaimanapun, pada pertengahan perjalanan ke Madinah, Baginda singgah di Wadi Ranuna' atau Wadi Bani Slim lalu menunaikan solat Jumaat pertama di Madinah.

Dianggarkan, 100 Muslim berjemaah bersama Baginda ketika itu. Bagi memperingati peristiwa itu, Masjid al-Jumaah dibina di kawasan ini.

Sebaik selesai solat, Baginda diiringi umat Islam memasuki Kota Madinah.

0 comments:


Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template