SANAA, ibu negara Yaman adalah kota bersejarah dan antara bandar tertua di dunia. Terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan, kota ini menyimpan pelbagai peristiwa silam dalam sejarah perkembangan tamadun manusia.
Diriwayatkan, wilayah itu diduduki manusia sejak berkurun-kurun sebelum masihi dan ada yang mengatakan ia mula diduduki sejak zaman Sam, anak Nabi Nuh.
Disebabkan keunikan kota ini, pada 1984, Sanaa diisytihar Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai salah satu warisan dunia yang perlu dipelihara.
Salah satu binaan lama yang masih kekal hingga sekarang ialah Gereja Al-Qalis yang terletak di tengah-tengah bandar Sanaa.
Kewujudan Al-Qalis sebenarnya mengimbau kedatangan pengaruh Habsyah di Yaman suatu ketika dulu.
Kisahnya bermula apabila penduduk Yaman yang beragama Nasrani ditindas Yusuf Dhu Nuwwas, pemimpin Kerajaan Himyar yang beragama Yahudi.
Bagaimanapun, kekuasaan kerajaan Himyar tidak bertahan lama apabila bantuan ketenteraan Bizantine dihantar ke Yaman bagi menghalang penindasan itu.
Tentera Bizantine pimpinan Jeneral Aryat dari Habsyah berjaya mengalahkan Kerajaan Himyar pada 537 masihi. Dengan kemenangan itu, Aryat dilantik sebagai wakil Bizantine di Yaman.
Namun, suatu tragedi berlaku kepada Aryat apabila dia dibunuh oleh Abrahah. Abrahah juga mengambil alih tempat Aryat sebagai pemerintah.
Abrahah sebenarnya berhasrat meluaskan lagi pengaruh Habsyah di Semenanjung Tanah Arab dan bercita-cita menjadikan Yaman pusat ekonomi, kebudayaan dan aga-ma di rantau itu.
Justeru, beliau terus membina Gereja Al-Qalis sebagai pusat pemerintahan, di samping mengharapkan masyarakat Arab mengunjunginya.
Bagaimanapun, agama Nasrani tidak diterima masyarakat Arab. Malah, Gereja Al-Qalis yang dibina beliau sering dikotorkan termasuk dilempar najis oleh penduduk tempatan.
Pada Abrahah, masyarakat Arab lebih gemar ke Makkah disebabkan kewujudan Kaabah di kota itu. Lalu beliau berangan-angan seandainya Kaabah ditawan, maka pengaruhnya pasti bertambah kuat dan sekali gus mampu menyaingi pengaruh Parsi.
Ketika itu, Makkah ditadbir bangsa Quraisy yang tidak cenderung kepada mana-mana pihak atau kuasa besar.
Malah, mereka tidak beriman dengan agama Nasrani, sebaliknya mempertahankan kepercayaan agama tradisi sedia ada.
Dengan pertimbangan akal sempit, pada 570 masihi, Abrahah menggerakkan bala tenteranya menuju Makkah untuk meruntuhkan Kaabah.
Sebelum itu, datuk Rasulullah saw, Abdul Mutalib pemimpin Quraisy dari Bani Hasyim menemui Abrahah. Beliau menasihati Abrahah supaya berundur dan mengingatkan bahawa Kaabah sentiasa dalam perlindungan Allah.
Abrahah degil dan bertekad meruntuhkan Kaabah. Akhirnya, kuasa Allah menentukan Abrahah dan bala tenteranya apabila mereka diserang Burung Ababil seperti mana dijelaskan dalam Surah al-Fil.
Apa yang pasti Kaabah terus terpelihara hingga hari ini dan dikunjungi seluruh umat Islam dari seluruh pelosok dunia.
Saban tahun hijrah, Kaabah dikunjungi umat Islam bagi menunaikan ibadat Haji dan melakukan ziarah.
Kaabah terletak di tengah-tengah Masjidil Haram dan menjadi simbol penyatuan umat pelbagai bangsa dan warna kulit berteraskan akidah satu.
Sebenarnya, bangunan masjid dan Kaabah mengalami banyak perubahan demi memastikan ia sentiasa utuh dan mampu menampung bilangan jemaah yang bertambah setiap tahun.
Selain Kaabah, Hajarul Aswad menjadi tumpuan pengunjung ke rumah Allah ini. Ia satu-satunya komponen Kaabah yang asal sejak Nabi Ibrahim.
Selain Hajarul Aswad, pintu Kaabah adalah komponen binaan Baitullah paling mendapat perhatian. Ia juga pernah beberapa kali diganti.
Saiz pintu Kaabah ialah 2.6 meter tinggi dan 1.7 meter lebar. Setiap ruang di pintu itu pula dihiasi ukiran berbentuk flora dan kaligrafi.
Difahamkan, pintu Kaabah yang bersalut kepingan perak dan emas mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan.
Ahli sejarah mengemukakan pendapat berbeza dalam menentukan orang pertama membuat pintu Kaabah. Ada yang berpendapat, cucu Nabi Adam iaitu Anush Bin Shith bin Adam dan ada juga Kabilah Jurhum.
Pendapat ketiga ialah Raja Yaman, Tubban As'ad Abu Karb.
Hingga kini, koleksi pintu Kaabah sejak awal kurun ke-20 hingga 1977 disimpan di Muzium Al-Haramain, Arab Saudi. Kali terakhir pintu Kaabah diganti ialah pada penghujung 1977.
Setiap tahun juga Kaabah dibersihkan dan ketika majlis itu dijalankan, wakil pemimpin negara Islam seluruh dunia dijemput untuk menyaksikannya.
Pada majlis itu, Kiswah atau kelambu Kaabah diganti dengan kelambu baru.
Kelambu ini diperbuat di Umul Jut, pinggiran Kota Makkah.
Kilang berkenaan dinaungi Raja Arab Saudi selaku penjaga kota suci Makkah.
Dianggarkan 50 orang pekerja sepenuh masa bekerja di sini untuk memastikan Kiswah siap mengikut jadual.
Kira-kira 120 kilogram benang jenis tertentu digunakan bagi menyiapkan Kiswah. Kos penyediaannya pula dianggarkan 10 hingga 17 juta Riyal.
Berkenaan sejarah pemasangan ini, ada menyatakan ia pertama kali dilakukan Raja Yaman, Tubba’ Abu Karb As’ad sekitar 220 tahun sebelum Hijrah.
Dalam pada itu, selain pintu dan kelambu, beberapa komponen lain seperti Makam Nabi Ibrahim dan Hajaral Aswad juga mempunyai sejarah tersendiri.
Paling mustahak, walaupun berkurun-kurun Kaabah mengalami pelbagai perubahan, namun ia terus terpelihara sebagai kiblat umat Islam seluruh dunia.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment