MOSTAR adalah bandar terbesar di barat daya Bosnia Herzegovina. Perkataan Mostar berasal daripada Mostari yang bermaksud ‘pengawal dua menara jambatan’.
Sejarah Mostar agak unik kerana pernah dihuni pelbagai bangsa, antaranya Ilyyria, Rom, Gothic, Slav, Turki dan Austria.
Sewaktu kerajaan Islam Uthmaniah menguasai Bosnia pada 1400, Mostar sering mendapat perhatian daripada pemerintah.
Mereka menjadikan Mostar sebagai pusat kebudayaan dan kesenian, selain pusat pembangunan ilmu di Bosnia.
Banyak bukti kemajuan dan pembangunan dakwah Islam di Mostar yang masih boleh dilihat ke hari ini. Antaranya Masjid Mehmet Pasha yang dibina pada 1618. Ia dibina oleh Mehmet Pasha atau nama sebenarnya Azamlarindan Sokollu Mehmet Pasha, Gabenor Kerajaan Uthmaniah di Mostar.
Setiap daerah di Mostar turut menyimpan sejarah tersendiri. Wilayah Blagaj di Mostar adalah antara kawasan paling banyak menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah.
Wilayah itu dipercayai wujud sejak zaman Neolithic iaitu sekitar 7,000 sebelum masihi.
Pusat ibadat ahli sufi atau Takiya adalah antara kawasan penempatan terawal di daerah ini. Ia juga pernah dijadikan kubu pertahanan tentera Islam ketika diserang tentera Serbia dan Croatia.
Difahamkan, Takiya diasaskan Syeikh Sari Satluk selepas kejatuhan Bosnia kepada pemerintahan Uthmaniah pada 1466.
Tidak jauh dari Takiya, Bukit Keterina juga sering menjadi tumpuan pengunjung yang mahu menyingkap sejarah awal Bosnia.
Istana lama Ratu Keterina antara bangunan bersejarah yang berdiri kukuh di puncak bukit ini.
Keterina adalah pemerintah terawal Bosnia yang dipercayai melarikan diri ke Rom selepas tentera Islam Uthmaniah berjaya menawan Bosnia.
Kawasan itu turut menempatkan perkuburan lama masyarakat Bogumil, suku kaum terawal Bosnia.
Masyarakat Bogumil dipercayai berpegang kepada ajaran Nabi Isa yang sebenar selepas 250 tahun baginda diangkat ke langit.
Justeru, mereka tidak menggunakan salib pada batu nisan walaupun menganut Kristian.
Sebaliknya, pada setiap batu nisan terukir lambang bulan dan bintang yang juga menjadi simbol kepada Islam.
Masyarakat Bogumil juga percaya, nabi akhir zaman yang bernama Ahmad akan muncul memimpin umat manusia selepas Nabi Isa.
Mereka juga tidak memiliki rumah ibadat secara khusus, sebaliknya bebas bersembahyang di mana-mana.
Disebabkan persamaan amalan dan akidah, masyarakat Bogumil terus berpakat beramai-ramai memeluk Islam sebaik pemerintah Dinasti Uthmaniah, Sultan Muhammad Al-Fateh menakluki Bosnia pada 1453 masihi.
Penemuan ini menunjukkan bahawa rakyat Bosnia adalah penduduk asal bumi Balkan. Mereka juga bukan campuran etnik Turki seperti didakwa masyarakat Eropah pada hari ini.
Satu lagi tempat bersejarah adalah Pocitelj dalam wilayah Rabrani. Suatu ketika dulu, kawasan ini adalah wilayah tercantik di Bosnia.
Berikutan itu, ia tidak pernah ditakluki mana-mana tentera disebabkan keindahan dan kedudukannya yang tidak strategik
Bagaimanapun, ketika perang saudara meletus pada pertengahan 90-an, pekan Pocitelj diserang lebih empat kali tentera Serbia.
Dalam peperangan itu juga, lebih 40,000 jasad pejuang Islam Bosnia yang terbunuh dihanyutkan ke dalam Sungai Neretva berhampiran Pocitelj.
Wilayah ini turut mempunyai beberapa masjid lama yang dibina oleh beberapa pemerintah Uthmaniah. Antaranya Masjid Haji Ali yang dibina pada 1562. Namun, sebahagian besar bangunan masjid ini musnah dibedil tentera Serbia.
Penduduk Pocitelj percaya tindakan itu, dilakukan disebabkan Serbia mahu menghapuskan apa juga bukti kewujudan empayar Islam Uthmaniah di Semenanjung Balkan.
Satu lagi struktur binaan di Pocitelj yang musnah adalah kubu pertahanan yang dibina Sultan Sulaiman.
Kubu ini pernah cuba ditawan musuh tetapi gagal disebabkan kedudukannya yang strategik dan binaan yang kukuh.
Pada 1993, sebahagian besar kubu itu musnah selepas dibom beberapa kali tentera Serbia.
Tamadun Islam turut meresapi wilayah Dubrovnik di Croatia. Dubrovnik adalah bandar pelabuhan yang menyimpan pelbagai sejarah tamadun Islam.
Sebelum dinaungi Islam, bandar ini dikuasai Rom seawal kurun ke-7. Ketika itu, etnik Rom Epidaurum dipercayai penduduk terawal tinggal di Dubrovnik.
Sewaktu itu, Dubrovnik terkenal sebagai pusat perdagangan termaju di Semenanjung Balkan.
Pedagang dari Mesir, Syria, Sepanyol dan Perancis singgah di wilayah ini untuk memasarkan barangan dagangan ke benua Eropah.
Bagaimanapun, pada kurun ke-14, Dubrvnik musnah akibat dilanda gempa bumi. Beberapa bahagian bandar ini dipercayai tenggelam dalam laut.
Kini, Dubrovnik kembali membangun sebagai wilayah paling penting di selatan Dalmatia.
Meskipun, majoriti penghuni beragama kristian, namun suatu ketika dulu pemimpin wilayah terbabit mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Uthmaniah.
Hubungan itu membolehkan kerajaan Uthmaniah memberi kuasa autonomi yang membolehkan rakyat di wilayah itu bebas melakukan urusan harian dan kegiatan keagamaan.
Hantar kepada kawan Format pencetak
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment