NAMA Syria dikatakan diperkenalkan oleh kerajaan Yunani. Perkataan Syria bermaksud ‘wilayah antara Turki di utara dan Mesir di selatan’.
Keluasan Syria adalah 185,000 kilometer persegi dan bersempadankan lima negara iaitu Turki, Iraq, Jordan, Israel dan Lubnan.
Ibu negara pula Damsyik, antara kota termasyhur dunia dulu dan hari ini. Malah, Damsyik pernah mendapat jolokan syurga dunia.
Kemasyhuran itu diabadikan Ibn Jarir, pengembara dan juga penyair dari Andalus (Sepanyol) pada kurun ke-12 dengan katanya: “Seandainya syurga berada di atas dunia, syurga itu adalah Damsyik.”
Nama lain bagi Damsyik, Syam dikatakan berasal nama Sam, anak Nabi Nuh yang menetap di situ selepas peristiwa banjir besar.
Kedatangan Islam ke bumi Syria bermula selepas Khald Al-Walid berjaya mengalahkan Rom Timur atau Bizantine di Yarmuk pada 636 masihi. Kemenangan itu menamatkan penguasaan Barat selama 1,000 tahun ke atas Syria.
Kegemilangan Syria bermula selepas Muawiyah Abi Sufian memindahkan ibu negara Islam dari Madinah ke Damsyik pada 661 masihi,
Muawiyah atau nama asalnya Muawiyah Bin Abi Sufian Bin Harb Bin Umaiyyah Bin Abdul Manaf ialah pengasas Bani Umaiyyah dan Khalifah yang baru selepas zaman pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin.
Muawiyah meninggal dunia pada 680 masihi ketika berusia 78 tahun dan makam beliau masih boleh dilihat hingga hari ini di Makam Bab As-Saghir di Kota Damsyik.
Diriwayatkan, Muawiyah salah seorang pencatat wahyu dan antara sahabat yang banyak menyumbang kepada pembangunan Islam.
Ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, beliau antara panglima perang yang membebaskan Mesir, Palestin dan Syria daripada cengkaman Bizantine.
Dengan kebolehan itu, Umar turut melantiknya sebagai Gabenor Syria dan kekuasaannya kian meluas pada zaman Uthman Ibn Affan.
Muawiyah juga pemimpin yang bijak dan cekap mengatur strategi. Dalam kepemimpinannya, beberapa wilayah baru Islam berjaya dibuka seperti Turki, Armenia dan Afrika Utara.
Malah, angkatan laut Ummaiyyah menguasai Mediterranean hingga membimbangkan kuasa Rom.
Selain makam Muawiyah, dua makam pemimpin Bani Ummaiyyah adalah Abdul Malik Bin Marwan dan Al-Walid Bin Abdul Malik.
Makam itu terletak hampir 10 meter dari Makam Muawiyah. Diriwayatkan, selepas kematian Muawiyah, Bani Ummaiyyah dilanda krisis kepemimpinan.
Bagaimanapun, Abdul Malik Bin Marwan, Khalifah kelima (685 hingga 705 masihi) berjaya mendamaikan pihak bertelagah.
Lebih membanggakan, Abdul Malik berjaya menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi pentadbiran kerajaan.
Mata wang Bizantine digantikan dengan syiling dinar.
Selepas Abdul Malik, jawatan khalifah pula disandang anaknya, Al-Walid Bin Abdul Malik yang memerintah pada 705 hingga 715 masihi.
Sewaktu pemerintahan Al-Walid, wilayah Islam berkembang hingga ke Maghribi dan Sepanyol di barat serta Trans-Oxiana di imur.
Sebelum kedatangan Islam ke Syria, Damsyik adalah kota suci bagi tamadun Aramean yang menyembah Dewa Hadad dan Venus.
Selepas itu, bangsa Rom menjadikan Damsyik sebagai pusat penyembahan Dewa Jupiter. Rumah ibadat Rom untuk Dewa Jupiter, Propyleum masih berdiri kukuh di kota lama Damsyik.
Pada zaman pemerintahan Uthmaniah, Damsyik dijadikan pusat kegiatan ekonomi perdagangan dan kewangan.
Salah satu simbol kedatangan Islam di Damsyik adalah Masjid Umawi. Ia adalah warisan paling terkenal berusia lebih 1,000 tahun.
Pada zaman Khalifah Al-Walid Bin Abdul Malik, masjid itu diperbesarkan dan dipanggil Jami'umawi.
Keindahan masjid itu tiada tolok bandingnya ketika itu dan menjadi simbol zaman kegemilangan umat Islam ketika pemerintahan Bani Ummaiyyah.
Keunikan seni bina Jami'umawi lebih ketara dengan adanya ‘Dome Of The Treasury’ atau Kubah Baitul Mal.
Seni bina Rom dan budaya bangsa lain kelihatan pada masjid ini. Ia secara tidak langsung menggambarkan keterbukaan Islam menerima apa juga tamadun dan peradaban lain jika tidak bercanggah syariat Islam.
Saturday, February 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
syria berdekatan dgn palestin bukan israel
Post a Comment